Jawi berjaya kumpul RM300,000 dana beli al-Quran untuk mangsa banjir

TEMERLOH: Sehingga semalam, hampir RM300,000 dana berjaya dikumpul Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam usaha membeli sekurang-kurangnya 10,000 naskah al-Quran bagi program sumbangan dana dan wakaf kepada masjid, surau dan sekolah tahfiz terkesan banjir. 

Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, kempen sumbangan dana wakaf al-Quran yang telah dilancarkan minggu lalu itu menyasarkan RM700,000 dana awal dijangka akan dicapai dalam tempoh seminggu akan datang.

“Kita telah menempah tiga jenis al-Quran di mana dua saiz besar untuk diagihkan kepada masjid, surau dan saiz yang kecil sedikit untuk pelajar tahfiz yang terjejas akibat banjir.

“Insya-Allah, al-Quran yang sedang kita tempah akan siap dalam tempoh seminggu dua ini dan kita akan agihkan kepada masjid-masjid khususnya di Selangor dan juga Pahang di samping pelajar-pelajar tahfiz yang madrasah mereka ditimpa banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Misi Kembara Amal Bantuan Pasca Banjir di Masjid Kuala Kaung, Lanchang, di sini kelmarin.

Mohd. Ajib berkata, inisiatif itu juga sebagai lambang solidariti dan keprihatinan di samping menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan tadabbur al-Quran dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Surau Al-Muhajirin Jawi dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), QSR Brands (M) Holdings Bhd., dan Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melaksanakan program Khidmat masyarakat melalui Misi Kembara Amal Bantuan Pasca Banjir di Masjid Kampung Kuala Kaung, Lanchang, di sini.

Misi tersebut disertai oleh gabungan 55 orang sukarelawan dari Surau Al-Muhajirin Jawi, Kelab Kebajikan, Kelab Sukan dan Rekreasi Jawi, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Jawi dan Pasukan Sukarelawan Banjir Jawi bagi melaksanakan kerja-kerja gotong-royong membersihkan ruang solat dan bilik air, mengecat dan lain-lain keperluan di masjid berkenaan yang terjejas teruk akibat banjir. 

Selain itu, beberapa bentuk sumbangan seperti barangan keperluan, makanan dan wang tunai dengan keseluruhan nilai sumbangan berjumlah RM66,915 disampaikan kepada 70 penduduk Kampung Kuala Kaung yang terjejas banjir. 

Turut hadir, Kadi Daerah Temerloh, Abdul Aziz Abd. Karim, Ketua Jabatan Syarikah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad, Hayazi Darus dan Pengerusi Masjid Kampung Kuala Kaung, Ahu Hanifah Hunain Mohd. Arif. 

Selain Masjid Kampung Kuala Kaung turut menerima sumbangan adalah Masjid Kampung Guai, Bera yang turut terjejas Disember tahun lalu dengan jumlah sumbangan sekitar RM40,000. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts