Jemputan kenduri kahwin dalam satu masa,mana satu perlu diutamakan?

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kita dijemput untuk pergi kenduri pada hari itu. Tetapi pada hari itu juga kita ada dua jemputan dan kedua-dua jemputan jauh seperti kita duduk dekat Nilai, kenduri di Kedah dan Kelantan. Mana satu yang afdhal untuk pergi?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan hukum menghadiri jemputan majlis perkahwinan. Hukum asal menghadiri majlis perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali. Ia berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

MaksudnyaApabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.

Riwayat Muslim (1053)

Imam al-Nawawi berkata: Pada hadis ini menunjukkan perintah untuk menghadirinya dan tiada perbezaan pandangan padanya. Tetapi adakah kewajiban itu adalah perintah wajib atau sunat? Dan yang paling sahih dalam mazhab kami adalah fardhu ain bagi sesiapa yang dijemput secara khusus dan gugur kewajiban tersebut jika ada keuzuran. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/234)

Menjawab persoalan di atas, perlu dilihat pada yang lebih dekat dari segi hubungan kekeluargaan seperti adik beradik dan saudara mara yang dekat dengan kita, maka itu perlu lebih diutamakan untuk hadir berbanding kenalan biasa. Jika kedua-dua walimah tersebut adalah jemputan daripada saudara mara, maka saudara mara yang paling dekat diutamakan.

Ini berdasarkan konsep menyambung silaturrahim di samping menyahut jemputan saudara mara dan kaum kerabat. Ini juga akan menatijahkan banyak kelebihan antaranya kelebihan rezeki dan usia yang panjang. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A, Baginda SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

MaksudnyaSesiapa yang suka untuk dilimpah ruahkan rezekinya, atau dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.

Riwayat al-Bukhari (2067) dan Muslim (2557)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Ulama’ berkata, makna kalimah “البسط في الرزق” adalah keberkatan padanya dan pada umur, iaitu dapat memiliki kekuatan pada tubuh badan. Ini kerana menyambung hubungan kekeluargaan merupakan sedekah, dan sedekah dapat menghasilkan harta serta menambahkannya menjadi subur. (Lihat Fath al-Bari, 4/302)

Inilah pandangan kami dan pada masa kini, terdapat banyak peralatan moden yang boleh digunakan bagi menzahirkan rasa terima kasih atas jemputan. Sebagai contoh ia boleh dilakukan melalui whatsapp dan lain-lain di samping boleh menyampaikan hadiah melalui pos laju sebagai tanda ingatan dan keikhlasan atas jemputan yang amat bermakna.

Kami juga mengesyorkan agar seseorang yang dijemput kepada kenduri perkahwinan hendaklah membuat komitmen seupaya mungkin dan sekiranya tidak mampu hendaklah meminta keuzuran dan kemaafan bagi menzahirkan rasa amanah dan tanggungjawab kita kepada sahabat.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts