Jernihkan kekeliruan terhadap Islam: Sultan Terengganu

 

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agensi kerajaan mengambil langkah memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam agama berkasih sayang serta mencintai keamanan.

Titah baginda, kefahaman yang jelas kepada masyarakat bukan Islam perlu dilakukan bagi memperkukuh keyakinan bahawa pegangan rakyat kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah mampu memberi kesan besar kepada keamanan dan keharmonian berbilang kaum.

“Penularan pelbagai kefahaman satu cabaran baharu dan umat Islam tidak boleh membiarkan kerana ia boleh merungkai pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam di negara ini.

“Sebagai umat Islam yang menjunjung perintah Allah, semua umat Islam hendaklah menjernihkan kembali kekeliruan dan kekusutan ditimbulkan oleh mereka yang cuba memporak-perandakan kesucian Islam,” titahnya ketika merasmikan penutup kolokium Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat negeri di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail dan Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkfly Muda.

Sultan Mizan bertitah, Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) patut mengambil peranan menjelaskan kekeliruan dalam masyarakat.

Titahnya, penjernihan kepada kekusutan dan kecelaruan yang melanda tidak dapat diselesaikan dengan mudah kecuali umat Islam kembali kepada sumber utama iaitu al-Quran dan sunah.

“Saya menyeru kepada ulama, pendidik, intelektual Islam, MAIDAM, JHEAT dan semua pihak supaya menangani pelbagai isu berkaitan kesucian Islam dengan lebih bijaksana, permuafakatan secara ilmiah, halus dan berhikmah.

“Saya juga meminta seluruh rakyat termasuk bukan beragama Islam tidak mengambil kesempatan menimbulkan pelbagai polemik dengan mempertikaikan sambutan hari kebesaran Islam dan amalan talqin serta tahlil,” titahnya.

Titah baginda, semua perkara yang menyebabkan perpecahan berpunca daripada perkara ranting atau khilafiah dan perbezaan aliran pemikiran hendaklah dihentikan segera kerana ia akan menenggelamkan inti utama ajaran Islam iaitu keharmonian keamanan dan perpaduan.

“Umat Islam sepatutnya membuka minda dan berfikiran secara bijaksana selain mencetuskan idea serta pandangan yang boleh membentuk masyarakat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.

“Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dengan pelbagai aliran pemikiran dan gerakan yang menongkah arus fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titahnya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts