Jika kawalan keselamatan di Masjid Al-Aqsa kekal kita akan saksikan ledakan kemarahan: Rakyat Palestin

 

JERUSALEM – Untuk lima hari berturut-turut, umat Islam enggan memasuki Masjidil Aqsa berikutan tindakan rejim Zionis memasang alat pengesan logam di pintu masuk masjid, sedang penduduk tempatan memberi amaran akibat buruk bakal tercetus.

Dengan solat Jumaat bakal tiba lagi esok – selepas rejim Yahudi itu menutup Masjidil Aqsa enam hari lalu – penduduk tempatan sudah bersedia untuk meningkatkan tekanan sehingga tuntutan mereka dipenuhi, dan Jumaat ini bakal menjadi satu lagi titik kritikal.

“Jika pengesan logam tidak dikeluarkan, kita akan melihat ledakan kemarahan di sini. Orang ramai akan menggunakan tangan mereka untuk membuangnya.

“Jumlah umat Islam yang memasuki Masjidil Aqsa setiap Jumaat adalah besar dan pihak berkuasa rejim Israel mempunyai masa dua hari untuk menilai semula pemasangan alat pengesan logam itu,” kata seorang penduduk.

Beribu-ribu umat Islam sama ada yang tinggal di Tebing Barat atau di wilayah Israel biasanya bersolat Jumaat di Masjidil Aqsa, katanya.

Seorang lagi penduduk Al A’al berkata, langkah memasang alat pengesan logam itu adalah ‘tindakan perang’ bukan sahaja kepada rakyat Palestin, tetapi juga dunia Islam keseluruhannya.

“Memang kita tidak mendengar apa-apa kenyataan daripada Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi atau Raja Jordan. Mereka tidak mewakili jutaan umat Islam di seluruh dunia yang menyaksikan dan memberi sokongan kepada kami.

“Dalam penentangan ini, kerajaan rejim Israel akan belajar daripada rakyat Palestin. Kami tidak akan berputus asa,” katanya.

Katanya, jika orang Yahudi menyangka mereka telah berada di padang pasir selama 40 tahun, berurusan dengan rakyat Palestin akan menambah derita mereka untuk ratusan tahun lagi.

Sebelum ini, umat Islam boleh memasuki Masjidil Aqsa menerusi tiga pintu iaitu Bab al-Asbat, Bab al-Majlis dan Bab al-Silsala.

Alat pengesan logam dipasang di pintu masuk masjid, berikutan kejadian serangan ke atas askar rejim Zionis di mana dua anggotanya terbunuh.

Selepas pemasangan itu, jawatankuasa pentadbiran Masjidil Aqsa meminta umat Islam tidak memasukinya kerana menganggap tindakan itu satu pelanggaran terhadap status quo masjid ketiga suci umat Islam. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts