Johor akan buka Akademi al-Quran percuma

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor akan membuka Akademi al-Quran secara percuma bagi melahirkan qari dan qariah pelapis selain pakar kitab suci berkenaan, awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, akademi itu akan dibuka di Masjid Kota Iskandar dengan 40 pelajar buat permulaan.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukan RM300,000 bagi menyediakan prasarana awal akademi berkenaan.

“Akademi al-Quran itu akan memberi penekanan khusus kepada pemahaman dan membaca al-Quran dengan kaedah terbaik dan lengkap dengan tenaga pengajar terdiri daripada guru terlatih termasuk qari dan qariah yang pernah memenangi pertandingan tilawah peringkat antarbangsa.

“Syarat bagi menyertai akademi adalah pelajar perlu berusia 12 tahun ke atas yang dipilih secara khusus bagi mengikuti pengajian antara satu hingga tiga tahun.

“Hanya 40 pelajar sahaja yang akan memasuki akademi ini. Mereka ini dipilih di peringkat daerah oleh jawatankuasa Kadi dengan tiada sebarang yuran dikenakan kepada pelajar, malah semua kos sara hidup termasuk asrama akan disediakan.

“Jangkaan tempoh selama satu hingga tiga tahun pelajar ini akan berada di akademi. Mereka diharap mampu menjadi qari dan qariah yang akan mewakili negeri ke Tilawah al- Quran peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, akademi al-Quran itu selari dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memberikan pendidkkan khas tentang al-Quran kepada golongan pelapis.

“Kita tidak mahu ada generasi muda negeri ini buta al-Quran, sebab itu kerajaan negeri mahu akademi ini terus berjalan dan bukan bermusim bagi melahirkan golongan pelapis.

“Menerusi akademi ini, golongan pelapis yang faham dan mampu membaca al-Quran dengan lancar dan mengikut tajwid mampu dilahirkan seterusnya menjadi qari dan qariah yang akan mewakili negeri atau guru al-Quran terlatih,” katanya

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan Johor akan menjadi tuan rumah Tilawah al- Quran dan Hafazan peringkat Kebangsaan 2022 pada Jun tahun hadapan.

“Setakat ini, kita masih menunggu perkenaan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung lokasi tilawah akan diadakan,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts