Kadar visa haji, umrah tahun ini tak lebih RM52.26

 

MAKKAH, 6 Syaaban 1438H, Rabu – Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengesahkan caj bagi visa haji dan umrah tahun ini tidak melebihi AS$13 (RM52.26), lapor Al Arabiya – saluran berita televisyen pan-Arab milik Arab Saudi, hari ini.

Dalam memberi perkhidmatan kepada jemaah, beliau menegaskan bahawa matlamatnya adalah untuk memberi peluang kepada seramai mungkin umat Islam di seluruh dunia untuk mengerjakan haji dan umrah, sekali gus mencerminkan imej terbaik kerajaan Arab Saudi memberi khidmat di dua Tanah Suci.

Dalam temu bual bersama Al Arabiya TV dan Saudi TV yang akan disiarkan jam 5.30 petang ini waktu tempatan (1.30 pagi Khamis waktu Malaysia), Putera Mohammed turut menyangkal dakwaan bahawa caj visa haji dan umrah itu memberi kesan negatif, kerana umat Islam hanya dapat melaksanakan umrah sekali setahun, berbanding empat kali setahun.

“Ini adalah propaganda yang tidak benar, dan kita tahu siapa di belakangnya. Mereka yang bencikan Arab Saudi dan mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk menjauhkan umat Islam daripada Arab Saudi. Pertama, sebelum keputusan ini, memang ada caj visa sebanyak 50 riyal bagi haji dan umrah.

“Malah mereka yang datang untuk kali pertama dikenakan 50 riyal bagi visa haji dan umrah. Keputusan ini bukan menyasarkan kepada visa haji dan umrah, tetapi semua visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan menyatukannya untuk satu kadar sahaja,” katanya.

Memetik laporan agensi berita Arab Saudi (SPA), beliau berkata, perkhidmatan yang diberi kepada jemaah meliputi haji dan umrah kali pertama, yang mana ianya ditanggung oleh kerajaan Arab Saudi.

“Jika umat Islam hendak mengerjakan haji atau umrah buat kali pertama, kos visa ditanggung oleh kerajaan Arab Saudi. Tetapi bagi mereka yang datang untuk kali kedua atau ketiga, mereka mengalirkan ekonomi Arab Saudi, sedangkan kami memberi perkhidmatan percuma kepada mereka buat kali pertama.

“Kedua, mereka mengambil peluang umat Islam yang lain yang mahu mengerjakan haji atau umrah,” katanya.

Bermula 2 Oktober tahun lalu, kerajaan Arab Saudi menaikkan kadar caj visa mengerjakan haji dan umrah ke atas semua negara tanpa pengecualian, bagi yang berbuat demikian untuk kali kedua.

Perubahan utama dalam struktur kadar visa baharu itu, termasuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma, tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya dikenakan bayaran 2,000 riyal Arab Saudi.

Putera Mohammed yang mempengerusikan Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan, turut memberi perhatian serius kepada jemaah dalam usaha menawarkan kemudahan yang diperlukan dan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi umat Islam melaksanakan haji dan umrah, dengan sempurna.

Program Misi 2030 Arab Saudi menggariskan tiga objektif penting perkhidmatan kepada jemaah, yang diumumkan bersama 10 program lain dan diluluskan Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan.

Program itu mempunyai lapan matlamat tidak langsung, termasuk meningkatkan landskap bandar-bandar utama Arab Saudi, membangunkan sektor pelancongan, memelihara dan memperkenalkan Islam dan menjaga warisan Arab Saudi.

Bagi Kementerian Haji dan Umrah pula mereka akan menyediakan perkhidmatan terbaik dan meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan alatan teknologi moden kepada jemaah.

Ini termasuk, penggunaan aplikasi telefon pintar untuk perkhidmatan haji dan umrah, menggunakan peta digital dan mengenal pasti laman web yang berkaitan haji dan umrah, serta bagaimana mengambil kesempatan daripada perkhidmatan elektronik sedia ada. – Agensi

Sumber : ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts