Kaedah fiqh, ijtihad ulama pastikan norma baharu patuhi syariat Islam

 

IPOH: Pembudayaan norma baharu dalam menghadapi penularan pandemik COVID-19 ketika ini, dibuat dengan mengambil kira ijtihad ulama, membuatkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, mengakui ada perkara tertentu yang kelihatan bercanggah syariat Islam seperti penjarakan saf ketika solat berjemaah, namun ia sebenarnya masih dalam kerangka hukum ditetapkan melalui ijtihad.

“Kerajaan juga pasti melihat pelbagai sudut (dalam menetapkan norma baharu) berpandukan kaedah-kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (kepentingan umum semasa).

“Apa yang kita buat (norma baharu) ini bukanlah (bergantung) kepada satu pendapat (ulama) sahaja dan tidak boleh (ikut) pendapat ulama’ yang lain. (Harus diingat bahawa) penetapan hukum syarak juga didasari oleh ijtihad,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan program Nadwah Penyelarasan Sekretariat NGO Dakwah Islam Perak di Hotel Casuarina, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin,dan Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin.

Zulkifli memberi demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini, mengenai seorang pendakwah terkenal tanah air yang mempersoalkan amalan normal baharu ketika penularan pandemik COVID-19 wajar dikaji semula.

Menerusi video itu, pendakwah berkenaan mendakwa amalan normal baharu khususnya berkenaan tatacara solat berjemaah di negara ini, bercanggah syariat Islam apabila perlu mengambil jarak berbanding harus dirapatkan seperti disarankan melalui hadis.

Beliau berkata, penjelasan mengenai amalan norma baharu itu sudah terdapat dalam buku yang ditulisnya bertajuk ‘Soal Jawab Fiqh COVID-19’, merangkumkan himpunan soalan lazim yang sering dikemukakan berkaitan hukum dan permasalahan dalam suasana wabak COVID-19.

“Pembudayaan norma baharu juga adalah berdasarkan pandangan daripada Muzakarah Majlis Fatwa (MF) Kebangsaan, fatwa di peringkat negeri, bahkan fatwa ulama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli hubungan sesama badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan dakwah Islam perlu dilestarikan secara sistematik bagi manfaat ummah sejagat biarpun dalam skop yang sering dilihat agak remeh.

“Kadangkala sesuatu isu seperti pembentukan keluarga mithali (contoh) dilihat kecil namun sebenarnya memberi impak besar kepada masyarakat.

“Jadi penyelarasan gerak kerja semua NGO dakwah sangat penting agar setiap NGO yang terbabit memainkan peranan tersendiri berdasarkan tahap kemampuan masing-masing dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Islam,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts