Kalimah Allah: Negeri Sembilan gubal undang-undang berasaskan Perlembagaan

 

PORT DICKSON: Negeri Sembilan sudah ada undang-undang khusus berkaitan penggunaan kalimah Allah, yang digubal berasaskan peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, memaklumkan ia meliputi Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 (Enakmen No 9/1991) yang telah diluluskan dan berkuat kuasa sejak 5 April 2007.

“Enakmen berkenaan menyenaraikan 36 perkataan yang dilarang serta tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam, dalam Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 dan ia termasuklah penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra MAINS Bersama Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Muzalmah Mustapha Kamal.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Fatwa Negeri Sembilan yang diwartakan pada 14 September 2016 turut menetapkan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

“Kalimah suci itu tidak boleh diguna atau dikaitkan dengan agama bukan Islam. Justeru, fatwa berkenaan meletakkan kewajipan kepada umat Islam di Negeri Sembilan untuk melindungi kalimah Allah dengan cara terbaik.

“Jika ada unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah suci itu, maka tindakan perlu diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau sekali gus menekankan pentingnya menjaga keharmonian dan perpaduan di negeri ini, serta memelihara sensitiviti rakyat dan agama.

“MAINS menyeru rakyat bukan Islam di Negeri Sembilan agar akur dan patuh kepada undang-undang sedia ada, manakala rakyat beragama Islam pula juga hendaklah mematuhi fatwa yang sudah diwartakan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, media memainkan peranan amat penting dan diharap terus menjalinkan kerjasama positif dengan MAINS.

“MAINS menganggap media sebagai rakan strategik yang diharapkan terus bekerjasama untuk menyebar luas maklumat kepada masyarakat, terutama berkaitan perkhidmatan MAINS,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts