Kami beli Proton sebab sokong kereta keluaran negara Islam: Pemuda Turki

 

Kereta nasional negara, Proton dikatakan dibawa masuk ke Turki seawal tahun 1993 dengan jenama Proton Wira tetapi hanya empat buah sahaja untuk pertunjukan kereta.

Mengikut kepada laporan, sekitar lima unit Proton di hantar ke Turki untuk percubaan kali pertama pada 1994 di bawah kendalian Ortaklar Motor.

Kemudian Proton kembali masuk ke pasaran Turki pada 1997 di bawah kendalian syarikat JetPA, tetapi hanya bertahan sehingga tahun 2000 selepas syarikat tersebut mengalami masalah.

Seterusnya pada 2004, Proton sekali lagi di bawa masuk ke Turki di bawah syarikat baharu, Ulumotor yang bertindak sebagai pengedar utama di Turki sehingga ke hari ini.

 

 

Kelab Proton Turki

Sekiranya anda berjalan-jalan di beberapa bandar di Turki khususnya di Istanbul, Ankara, Antalya, Bursa, Konya dan Izmir, terkadang itu anda boleh lihat beberapa kereta Proton yang masih menyelusuri jalan raya di sana tetapi dengan jenama lama seperti Proton Wira, Saga dan juga turut terdapat kereta Proton Waja yang dijadikan sebagai teksi di Istanbul.

Bagaimanapun, penulis merasa begitu terkejut apabila mendapati terdapat sebuah ‘Kelab Proton Turki’ yang menghimpunkan pengguna dan pencinta kenderaan Proton dari kalangan warga Turki.

Penulis tidak melepaskan peluang mendekati kumpulan ini dan bertanyakan kepada mereka tentang memgapa kereta Proton jadi pilihan mereka.

Kebanyakannya mengatakan sebab utama mereka membeli dan menggunakan kenderaan Proton ialah untuk menyokong kenderaan keluaran Malaysia sebagai sebuah negara Islam, di samping harga Proton yang begitu murah.

Ketika ditanyakan tentang aspek keseluruhan kenderaan keluaran Proton, mereka mengakui bahawa ia sebuah kereta yang berkualiti, selesa, kukuh dan baik dari segi pemanduan.

Namun mereka juga turut berdepan dengan kesukaran untuk menemui pakar kereta Proton dan juga kesulitan untuk mendapatkan alat ganti kenderaan berjenama itu.

 

 

Pengguna setia

Hami Akyuz, seorang pemuda Turki yang berumur 19 tahun dari Istanbul ini merupakan seorang peminat tegar Proton.

Katanya dia telah menggunakan sekurang-kurangnya 18 jenis kereta Proton semenjak 8 tahun dan sehingga hari ini masih setia bersama jenama kereta itu.

“Proton adalah kenderaan yang berkualiti, selesa dan mampu beli.

“Saya dan peminat jenama kereta Malaysia ini juga amat berharap model baharu Proton dapat masuk ke Turki lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Okan, 33 yang turut berasal dari Istanbul mengatakan dia mula memanda kereta Proton semenjak dua tahun.

Bagi dia yang pernah bekerja dalam sektor kenderaan dan sudah biasa dengan pelbagai jenama kereta lain, Proton dianggap sebagai antara otomobil yang berkualiti tinggi.

“Proton mempunyai prestasi yang baik setanding dengan jenama kenderaan dari negara lain.

“Sekiranya dilihat kepada harganya yang berpatutan dan sememangnya merupakan salah sebuah kenderaan yang terbaik,” jelasnya.

 

 

Perlu terus terokai pasaran luar

Okan turut berbangga kerana Malaysia sebagai sebuah negara Islam mampu mengeluarkan kenderaannya sendiri dan berjaya di peringkat antarabangsa.

“Saya harap Malaysia terus berjaya dan saya meminta supaya kerajaan dan rakyat Turki terus menerus menyokong kenderaan ini,” katanya.

Manakala salah seorang peminat Proton dari Kuala Lumpur, Muhammad Harits Mukhni, 32, turut berharap Proton kembali masuk menerokai ke pasaran luar termasuk Turki dan Mesir kerana terdapat ramai peminat kereta jenama negara itu di sana.

Jelasnya, sebagai rakyat Malaysia dia mahu Proton terus merintis jalan kejayaan seperti mana jenama kereta luar negara seperti Kia dan Hyundai yang kini menjadi salah satu gergasi permotoran dunia.

“Dengan adanya peminat Proton di luar negara, saya percaya ia mampu berjaya di pasaran antarabangsa.

“Sudah 32 tahun Proton bertapak dalam industri permotoran dan saya teringin melihat Proton memegang pasaran besar di luar negara,” katanya. – Sinar Harian

Muhamad Nur Thaqib Shaker
Pelajar Malaysia di Turki, Exco Data, Komunikasi dan Perhubungan MASAT

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts