ATHENS, 23 Sept – Organisasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa aktivis serta bantuan kemanusiaan ke Gaza mendakwa kapal-kapal mereka telah menjadi sasaran letupan dan serangan dron ketika berlayar di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Menurut laporan The Guardian, GSF dalam kenyataan mereka menyatakan bahawa beberapa dron dilihat menjatuhkan objek tidak dikenali, komunikasi kapal diganggu, dan bunyi letupan kedengaran dari beberapa kapal.
Dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial, kapal Spectre dilaporkan merekod detik letupan tersebut. Seorang aktivis dari Brazil, Thiago Ávila, berkata sekurang-kurangnya empat kapal disasarkan oleh dron yang melempar objek sebelum bunyi letupan kedengaran.
Agensi berita Anadolu pula melaporkan bahawa dron-dron terbabit melepaskan projektil ke arah kapal Yulara dan Ohwayla. Salah satu daripadanya dilaporkan sebagai bom asap, manakala sebuah lagi mengenai penghadang kapal sebelum jatuh ke laut tanpa menyala.
Selain itu, lebih kurang 15 dron dilaporkan terbang rendah di atas kapal Alma, manakala lima lagi mengelilingi kapal Deir Yassin pada ketinggian berbeza.
Ketika kejadian, semua kapal mengaktifkan protokol kecemasan dan setakat ini tiada laporan awal mengenai kematian atau kecederaan serius.
The Guardian turut melaporkan bahawa komunikasi kapal diganggu, termasuk radio yang disekat serta bunyi muzik kuat dipercayai dipasang untuk mengganggu saluran komunikasi.
GSF menyifatkan insiden ini sebagai sebahagian daripada serangan psikologi dan menegaskan bahawa mereka tidak akan tunduk terhadap intimidasi dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sumber: Guardian, Anadolu, Reuters, Arab News
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam