Kekuatan Islam berpaksikan semangat ukhuwah

KANGAR: Teras kekuatan umat Islam utama adalah berpaksikan kepada semangat ukhuwah Islamiah yang dipupuk sejak kecil.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ukhuwah merangkumi perasaan kasih sayang dan cinta sesama umat Islam yang seterusnya mewujudkan rasa untuk saling membantu, menasihati, memperingati, bersikap tolak ansur, bermaaf-maafan sesama saudara serta sikap saling ingin berjaya. 

“Ikatan persaudaraan sesama Muslim juga seumpama sebuah ’bangunan’ yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan ’bangunan’ itu terus terpulihara. 

“Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan CSR DZ Bikers Malaysia kepada 250 buah keluarga di Thamalang Hulu dan Thamalang Hilir, Wilayah Satun, Thailand di Jeti Kastam Kuala Perlis di sini, semalam.

Sumbangan berupa bahan makan mentah itu disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Koordinator Malaysia bagi Jaringan MAIPs dan Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron.

Penyerahan sumbangan itu turut mendapat kerjasama syarikat HPA, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri.

Hadir menerima sumbangan berkenaan adalah Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisatepan yang merupakan koordinator Thailand bagi Jaringan MAIPs dan MAI Enam Wilayah Andaman yang sejurus kembali di sana terus mengagihkan sumbangan tersebut kepada golongan asnaf.

Baginda juga berharap segala agenda pembangunan ummah di Perlis dan di enam Wilayah Andaman, Thailand dapat terus dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts