Keluasan taqarrub kepada Allah di bulan Ramadhan

Ustaz-Fauzi-Asmuni

 

Hari ini kita sudah memasuki pertengahan bulan Ramadhan. Moga Allah menerima ibadah yang kita lakukan sepanjang umur kita dan memberikan kita istiqamah untuk terus iltizam dengan agama Allah pada baki umur yang mendatang.

Ramadhan adalah bulan di mana orang Islam akan berlumba-lumba menghampirkan diri kepada Allah. Dalam menghampirkan diri kepada Allah, cara yang paling banyak diambil orang ramai adalah dengan mengerjakan ibadah-ibadah khusus di bulan Ramadhan seperti puasa, qiamullail, tilawah al-al-Quran, zikir dan seumpamanya. Jelas di dalam hadis bahawa itu adalah amalan yang afdhal dilakukan di bulan Ramadhan melebihi bulan-bulan yang lain.

Dari situ timbul sedikit kekeliruan kepada dua golongan manusia iaitulah golongan aktivis gerakan Islam dan pekerja-pekerja yang memberi khidmat kritikal kepada masyarakat seperti doktor dan jururawat. Bagaimana aktiviti mereka di bulan Ramadhan? Adakah perlu ditangguhkan ke bulan Syawal agar dapat mengejar segala kelebihan ibadah khusus seperti orang lain? Dengan erti kata tiada mesyuarat ngo, tiada kempen pilihanraya, pesakit di hospital perlu dihadkan, pembedahan ditangguhkan selepas raya …. adakah begitu?

Allah Yang Maha Adil memberi setiap orang peluang yang sama untuk menghampirkan diri kepadaNya (taqarrub ilaLlah).Lihatlah hadis Rasulullah saw tentang keadilan itu di dalam sabdanya:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: الإمام العادل، وشاب نشأ في عبادة الله، ورجل قلبه معلق في المساجد، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال، فقال إني أخاف الله، ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه، ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه

“Tujuh golongan yang diberikan Allah lindungan pada hari yang tiada lindungan kecuali lindunganNya; pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dengan ibadah kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bertemu keranaNya dan berpisah keranaNya, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan lalu ia berkata: sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedekah secara diam-diam sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah berseorangan lalu mengalir airmatanya.” (Bukhari dan Muslim)

Tujuh golongan yang diberikan lindungan Allah di hari yang tiada lindungan kecuali lindungannya adalah tujuh golongan manusia yang berbeza. Daripada seorang pemerintah yang adil, hinggalah kepada seorang manusia biasa menangis ketika bersendirian mengingati Allah; semuanya diberikan lindungan yang sama.

Begitulah juga adilnya Allah kepada aktivis Islam yang berdakwah siang dan malam menjadi benteng kepada umat agar tidak hancur. Dan begitulah juga kepada pekerja-pekerja yang memberi khidmat kritikal kepada orang Islam seperti menyelamatkan nyawa dan yang seumpamanya.

Berkenaan dengan aktivis Islam, saya ingin kongsikan di sini dua hadis untuk kita melihat betapa luasnya peluang manusia untuk menghampirkan diri kepada Allah melalui usaha jihad dan dakwah. Bahkan dalam sesetengah keadaan mungkin lebih afdhal dari sesetengah ibadah khusus. Sabda Rasulullah saw:

ألا أنبئكم بليلة أفضل من ليلة القدر حارس حرس في أرض خوف لعله أن لا يرجع إلى أهله

“Mahukah kamu aku tunjukkan satu malam yang lebih afdhal dari malam lailatul qadr? Iaitu malam seorang pengawal yang mengawal di bumi yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak dapat kembali kepada ahli keluarganya.” (Al-Hakim)

Sabda Rasulullah saw lagi:

موقف ساعة في سبيل الله خير من قيام ليلة القدر عند الحجر الأسود

“Berdiri sejenak di jalan Allah lebih baik dari ibadah di malam lailatul qadr di sisi hajarul aswad.” (Ibnu Hibban)

Berkenaan pekerja-pekerja yang memberi khidmat kritikal kepada manusia sehingga terlepas beberapa ibadah khusus di bulan Ramadhan, saya kongsikan satu sabda Rasulullah saw:

 أحب الناس إلى الله أنفعهم، وأحب الأعمال إلى الله عز وجل سرور تدخله على مسلم، أو تكشف عنه كربة، أوتقضي عنه ديناً، أوتطرد عنه جوعاً، ولأن أمشي مع أخي المسلم في حاجة أحب إلي من أن أعتكف في المسجد شهراً، ومن كف غضبه ستر الله عورته، ومن كظم غيظاً، ولو شاء أن يمضيه أمضاه، ملأ الله قلبه رضى يوم القيامة، ومن مشى مع أخيه المسلم في حاجته حتى يثبتها له، أثبت الله تعالى قدمه يوم تزل الأقدام، وإن سوء الخلق ليفسد العمل، كما يفسد الخل العسل

“Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia. Amalan yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang kamu berikan kepada seorang muslim atau kamu melepaskannya dari kesusahan atau kamu langsaikan hutangnya atau kamu hilangkan kelaparannya. Jika aku berjalan bersama seorang saudara muslim untuk menunaikan hajatnya lebih aku cintai dari aku beriktikaf di masjid ini selama sebulan. Sesiapa yang menahan marahnya Allah akan menutup keaibannya. Sesiapa yang menahan kemarahan yang dia boleh lepaskan jika dia mahu maka Allah akan memenuhi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat. Sesiapa yang berjalan bersama saudara muslimnya untuk menunaikan keperluannya sehinggalah keperluannya itu selesai maka Allah akan mengukuhkan kedudukan kedua kakinya pada hari yang kaki-kaki manusia tergelincir. Sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amal seumpama cuka merosakkan madu.” (Al-Tobroni)

Peluang untuk bertaqarrub menghampirkan diri kepada Allah terbuka buat semua. Jika tiada kesibukan atau urusan itu boleh ditangguhkan, maka yang terbaik di bulan Ramadhan ini adalah melakukan ibadah khusus kepada Allah dengan qiam, tilawah, zikir dan seumpamanya.

Tetapi ketika ada urusan dakwah yang kritikal untuk diselesaikan di bulan ini juga, maka itulah yang paling afdhal untuk ditumpukan. Nabi saw dan para sahabat ra tidak menangguhkan perang Badar dan Fathu Makkah ke tarikh lain apabila ianya perlu dilakukan di bulan Ramadhan. Juga tidak menangguhkan perjalanan balik dari Tabuk ke bulan lain selain Ramadhan kerana ia perlu dilakukan pada ketika itu juga.

Bagi pekerja di sektor kesihatan dan yang seumpamanya, jika urusan itu kritikal dan tidak boleh ditangguhkan, berdoalah kepada Allah agar segala usaha menyelamatkan nyawa dan khidmat yang diberikan diganjari sama seperti muslim lain yang sedang beriktikaf di masjid di 10 malam yang terakhir.

Moga Allah menerima amal yang kita lakukan.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.satuperkongsian.com

Sumber: https://satuperkongsian.com/2016/06/20/keluasan-taqarrub-kepada-allah-di-bulan-ramadhan/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Kalah dalam ujian

  Seringkali manusia kalah dalam ujian yang melanda diri. Kalah dan rebah, kerana ujian sememangnya sukar untuk diatasi.…