Kerajaan akan selaras kaedah penentuan arah kiblat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan satu kaedah penyelarasan arah kiblat yang tepat sebagai rujukan penting di seluruh negara, sekali gus dijangka menyelesaikan isu menentusahkan arah kiblat dalam ibadat masyarakat Islam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berhubung perkara itu.

Katanya, isu arah kiblat yang tepat adalah sangat penting untuk umat Islam kerana ia membabitkan perihal ibadat khususnya dalam mengerjakan solat.

Oleh demikian, katanya setiap umat Islam dinasihati untuk mengambil cakna mengenai arah kiblat supaya setiap ibadat yang dikerjakan mendapat diterima oleh Allah SWT.

“Di peringkat Wilayah Persekutuan, saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah untuk mencapai persetujuan bersama. Pertemuan dan perbincangan itu sudah dijalankan, baru-baru ini.

“Dalam konteks Wilayah Persekutuan, saranan yang diberikan adalah, untuk orang ramai di Lembah Klang merujuk kepada jawatankuasa fatwa dan jawatankuasa falak di pejabat mufti serta persatuan falak.

“Di negeri-negeri seluruh negara pula, Insya Allah, saya akan cadangkan satu penyelarasan dari sudut penentuan kaedah mana yang akan digunakan. Perbincangan ini akan dijalankan di peringkat Jawatankuasa Muzakarah nanti

“Saya juga akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah (Datuk Dr Nooh Gadut) dalam konteks menentukan arah,” katanya dalam sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2022, di sini semalam.

BH sejak minggu lalu, melaporkan pelbagai faktor termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat solat, menyebabkan kira-kira 40 peratus kediaman sekitar Lembah Klang tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.

Keadaan itu menyaksikan ada di antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar.

Situasi itu adalah dapatan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) selepas memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis untuk ditentusahkan arah kiblat masing-masing.

Daripada jumlah itu, PAFNS mendapati hanya 5,000 yang diperiksa mempunyai penanda arah kiblat yang ditandai tuan rumah dengan, 2,000 daripadanya jelas terpesong.

Ia kemudiannya mendapat perhatian Nooh, yang berkata, pihaknya akan memanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Negeri, untuk berbincang mengenai isu arah kiblat yang tersasar

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, jawatankuasa falak dan jawatankuasa fatwa di peringkat negeri adalah pihak berkuasa untuk dirujuk arah kiblat oleh umat Islam.

“Selain itu, saya difahamkan, jawatankuasa-jawatankuasa ini juga membuat kerjasama dengan persatuan falak negeri. Melalui kerjasama ini, adalah usaha untuk membantu rakyat dalam memastikan arah kiblat kita adalah tepat

“Nasihat saya, apabila kita cakna dengan masalah-masalah yang ada, Insya Allah ibadat kita diterima Allah SWT,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts