Kerajaan perlu cadang langkah praktikal, tuntas selesai Isu kalimah ‘Allah’ – Mufti

GEORGETOWN: Kerajaan perlu segera mencadangkan langkah praktikal yang tuntas bagi tujuan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan bagi menyelesaikan polemik isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kerajaan boleh memohon perkenan Majlis Raja-Raja supaya diadakan sesi penjelasan kepada semua ketua agama di Malaysia mengenai keunikan situasi di Malaysia bahawa kalimah Allah tidak wajar dikongsi kegunaannya bagi tuhan dalam agama selain Islam.

“Duli-Duli Tuanku boleh memberi titah nasihat kepada ketua-ketua agama supaya sudi bekerjasama dalam menyelesaikan kemelut ini.

“Ia demi mengelak berlakunya konflik perkauman yang akan merugikan serta menyusahkan semua pihak di negara ini.

“Kadangkala kita perlu mengetepikan kepentingan kecil untuk menghindari kemudaratan yang lebih parah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah kerana jika perkara itu gagal diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, Seri Paduka Baginda bertitah polemik penggunaan kalimah Allah bukan pendekatan terminologi dan linguistik, sebaliknya berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

Wan Salim berkata, Kerajaan Pusat perlu bertindak segera kerana isu penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan dalam agama selain Islam, sudah lama dipolemikkan oleh pelbagai pihak di negara ini

Beliau berkata, keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri telah dibuat iaitu melarang kalimah Allah digunakan untuk tuhan dalam agama selain Islam, kerana ia adalah hak eksklusif bagi agama dan umat Islam.

Namun, katanya keputusan itu seperti tidak diendahkan pihak tertentu sehingga menyebabkan isu berkenaan masih berlarutan.

Beliau bagaimanapun berkata, Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada perkara berkenaan disebabkan suasana dan latar belakang sejarah kedua-dua negeri itu. – BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts