Kerajaan takkan tunduk desakan isu Zakir Naik: Tun Dr Mahathir

 

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan berhubung isu penceramah bebas, Zakir Naik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan dengan mudah bersetuju terhadap sebarang desakan sebelum membuat penilaian secara teliti.

“Kita tidak akan dengan mudah dipengaruhi desakan pihak lain, kita perlu melihat semua elemen sebelum memberi maklum balas terhadap desakan yang dibuat. Jika tidak seseorang akan menjadi mangsa.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sehari Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Selasa.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tiada tindakan akan dilakukan untuk menghantar Zakir pulang ke India.

“Di pihak PDRM, kita tidak ada apa-apa tindakan untuk hantar dia balik ke India dalam masa terdekat, kecuali ada agensi lain, saya tidak pasti. Tetapi setakat saya tahu, tiada tindakan menghantar dia pulang ke India dalam tempoh ini,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa portal berita melaporkan Zakir akan diekstradisi ke India namun pihak peguam yang mewakili penceramah itu menafikan perkara berkenaan.

Zakir meninggalkan India sejak tahun 2016 selepas beliau didakwa terbabit dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts