Kesedaran berzakat bagi individu 25 tahun ke atas masih rendah – LZS

Shah Alam: Kesedaran mengeluarkan zakat khususnya zakat harta bagi penduduk dewasa Islam berusia 25 tahun ke atas di Selangor disifatkan masih rendah, kata Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun.

Muhd Fikri berkata, pihaknya mendapati 50 peratus daripada mereka yang layak mengeluarkan zakat, tetapi tidak berbuat demikian adalah mereka berumur 25 hingga 34 tahun.

Beliau berkata, sehubungan itu LZS sedang giat menjalankan kempen menggunakan medium media sosial yang tepat dalam memastikan usaha itu sampai kepada golongan sasar.

“Berdasarkan data daripada laporan Digital 2021 Malaysia menerusi datareportal.com, kelompok ini menggunakan WhatsApp sebagai medium paling tinggi, perkhidmatan e-dagang Shopee serta ejen carian Google dan kami sedang memfokuskan pada medium itu.

“Walaupun pelbagai platform disediakan bagi memudahkan pembayaran zakat disediakan LZS, termasuklah pembukaan 23 pusat pembayaran zakat di seluruh negeri dan pembayaran secara dalam talian, usaha lain masih perlu digembleng untuk mendorong golongan layak melaksanakan perkara ketiga dalam Rukun Islam itu,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Muhd Fikri berkata, masih ramai lagi masyarakat Islam belum tahu kadar sebenar peratusan pembayaran zakat dan bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat Selangor, LZS akan menggiatkan semula Kempen My2.5 yang dilancarkan pada 2020.

“Ini bagi menanam kefahaman dalam kalangan rakyat Selangor bahawa hanya 2.5 peratus daripada pendapatan individu kalau cukup nisabnya mereka wajib berzakat.

“Walaupun zakat hanya 2.5 peratus tapi jumlah itu besar untuk golongan asnaf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan zakat keseluruhan di Selangor setakat Oktober lalu menyaksikan peningkatan kira-kira sembilan peratus dan penambahan bilangan pengeluar zakat sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, LZS turut menyasarkan kutipan zakat melebihi RM900 juta sepanjang tahun ini dengan jumlah kutipan pada tahun lalu sebanyak RM913 juta. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts