Keterlibatan politik dan perubahan akar umbi

 

ADA persoalan yang timbul mengenai keterlibatan gerakan Islam dalam politik kepartian dan dilihat bertentangan dengan manhaj Rasulullah SAW dalam memenangkan Islam.

1. Keterlibatan politik kepartian demi mengisi kewajipan dan tuntutan semasa, dan proses perubahan akar umbi tetap berjalan seperti biasa. Kewajipan mengisi ahli parlimen yang ikhlas, faham, serta menjiwai denyut nadi rakyat itu dalil kewajipannya terlalu banyak hingga tidak boleh dibilang dengan jari.

‘Kita tidak mentarjih maslahah sekiranya ia boleh dihimpunkan’ – Kaedah syarak

Yang menjadi masalah apabila kerja asasi diabaikan lalu mengorbankan kesemuanya kerana ingin mendapatkan kuasa politik. Ini suatu kefahaman cetek yang sangat tersasar daripada kefahaman nubuwwah.

2. Manhaj Nabi SAW tidak mengkhususkan cara spesifik dalam sistem pemerintahan. Perubahan sistem pelantikan daripada satu persatu khulafak ar-rasyidin pun berbeza.

Walaupun demokrasi mempunyai akar umbi jahiliah, keterpaksaan ini menjadikan ia suatu keperluan semasa umat Islam untuk melangsungkan kestabilan hidup mereka secara bernegara.

Dalam siasah syariah pun syarak menyatakan bahawa pemerintahan golongan khawarij sekiranya mereka mendapat kuasa, itu sebagai ‘nafiz’ yakni dikira ‘valid’ tanpa perlu diulangi semula segala hukuman, undang-undang dan pemerintahan mereka ketika mereka memerintah. Ia tidak pula menjadikan seolah-olah syarak menyuruh bahawa mereka itu mesti dijunjung sampai bila-bila. Ia dikira valid hanya untuk menolak mudarat sahaja agar maslahat umat Islam terjaga.

Oleh itu bagi saya ia perlu dianggap seperti sistem ‘islamic banking’ yang digunakan sebagai jalan keluar ‘sementara’ hingga umat Islam mampu membina satu sistem tersendiri tanpa diambil akarnya daripada sistem kapitalis.

Demikianlah sistem demokrasi yang mempunyai benih jahiliah, umat Islam perlu kembali kepada roh khilafah dan kebertanggungjawaban di hadapan Allah SWT hingga mereka boleh mendatangkan satu sistem yang optimum dan berakar umbikan syariah Islam dan menjunjung syura sebagai satu aspek asasi dalam pemerintahan.

3. Keberadaan dan keterlibatan politik kepartian adalah pada kadar mengisi kewajipan, bukan demi memenangkan ideologi demokrasi.

Ini noktah yang penting bagi semua orang dan gerakan Islam yang terlibat dalam kerja ini.

Keterlibatan seseorang dalam mengisi kewajipan perlu berkadaran pada kewajipan tersebut, bukan hingga menjulang sistem demokrasi yang berakar umbi daripada akidah yang salah.

Apabila seseorang ahli terlibat dalam sistem begini, mereka perlu bergerak dengan kerangka undang-undang dan mereka perlu patuh pada undang-undang itu kerana mukmin itu di atas syarat-syaratnya.

‘Orang muslimin adalah mereka yang mengikuti syarat-syarat yang dipersetujui’ – Maksud hadis

Tetapi menjulang idea dan fikrah demokrasi tidak termasuk dalam syarat dan undang-undang itu. Kalau ia wujud juga ia tidak tertakluk kepada syarat yang mesti dipersetujui kerana syarat keabsahan undang-undang mesti tidak bercanggah dengan syarak. Jika bercanggah ia wajib diingkari.

Di sini peranan gerakan Islam dan ahli yang berkepakaran dalam mengkaji dan bersedia untuk melakukan suatu perubahan total hingga ke akar umbi dan sistem, dalam masa yang sama mereka yang terlibat dalam politik boleh memainkan peranan mengambil tanggungjawab dalam mengurus hal ehwal kenegaraan serta membuka jalan bagi arus dakwah dan tarbiah terus mekar di atas medan.

Demikianlah respons ringkas saya.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts