Kezaliman Israel serlah kebobrokan sistem berat sebelah undang-undang dunia

 

BANGI – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengecam tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan negara pengganas Israel terhadap rakyat Palestin menjelang akhir Ramadan lalu.

Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, sifat kebinatangan militan Israel itu adalah petunjuk jelas kepada kebobrokan sistem penguatkuasaan undang-undang dunia yang berat sebelah.

Beliau berkata, puluhan nyawa terkorban dan ratusan rakyat Palestin cedera akibat kezaliman rejim Zionis yang menyerang tanpa belas kasihan.

Malangnya, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak bersuara meskipun serangan mencabuli hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan jelas sebuah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Geneva Keempat 1949.

“Militan Israel juga telah memutarbelitkan fakta dengan memanipulasi berita menggunakan proksi media milik mereka.

“Dunia mengetahui bahawa militan Zionis telah memulakan serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang beribadah dalam Masjid Al-Aqsa. Namun, media proksi mereka sedia upaya melaporkan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berkata, Palestin bukan semata-mata membabitkan isu kemanusiaan, tetapi ia juga berkaitan soal penjarahan asing yang merampas tanah milik penduduk asal.

Beliau berkata, tanah bukan sahaja dirampas, malah lebih keji penduduk asal dipenjara, diseksa, dihalau dan dibunuh secara kejam.

“Isu Palestin bahkan perlu dilihat dalam kerangka pertembungan antara haq dan batil yang mana umat Islam keseluruhannya perlu cakna dan berusaha memahami perkara ini dengan tuntas,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan Malaysia supaya bertegas dan memainkan peranan lebih signifikan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia seharusnya menjadi negara pendesak kepada badan-badan antarabangsa untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelamatkan umat Islam, seterusnya mempertahankan bumi Palestin.

“Penghargaan harus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus siang dan malam berperanan sebagai tentera siber di platform media sosial masing-masing untuk memberikan pencerahan kepada bukan sahaja rakyat di negara ini, malah seluruh dunia turut telah membuka mata akan kekejaman militan Israel dalam serangan kepada rakyat Gaza ini, “ katanya.

Katanya, BERJASA turut mendukung tindakan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang penuh komited mempertahankan tanah air umat Islam.

“Dengan tegas, tanah Palestin merupakan milik rakyat Palestin secara sejarah dan undang-undang. Kehadiran militan Israel mengaku Palestin milik mereka pada tahun 1948 dan kemudiannya secara strategik menghalau penduduk asal adalah satu tindakan ‘Settler Colonialism’ yang terkutuk,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
3
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts