Khutbah arafah musim haji 1444H diterjemah ke 20 bahasa dunia termasuk Bahasa Melayu

MAKKAH: Khutbah Arafah berbahasa Arab bagi musim haji 1444H/2023M akan disiarkan secara langsung dalam 20 bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Setiausaha Bahagian Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal al-Haramain, Ahmad bin Abdul Aziz al-Humaidi berkata pada tahun ini ada enam bahasa baharu iaitu Sepanyol, Portugal, Jerman, Filipina, Itali dan Bosnia ditampilkan, sebagai tambahan bahasa untuk terjemahan khutbah Arafah.

“Lebih dari 274 juta orang di seluruh dunia telah mendapat akses kepada khutbah Arafah pada musim haji tahun 1443H/2022M yang lepas hasil tranformasi digital dalam bidang teknologi maklumat,” katanya. 

Ahmad berkata demikian kepada petugas media daripada agensi dan organisasi pelbagai negara yang menyertai program Media Partnerships For Hajj Season 2023 anjuran Kementerian Media Arab Saudi, Sabtu.

Delegasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang merupakan antara tetamu Saudi Press Agency (SPA), turut menyertai program anjuran Kementerian Media itu. 

Ahmad berkata bagi musim haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia. 

“Kami telah mengesan bahawa penduduk di Amerika Selatan tidak mendapat akses untuk mendengar khutbah Arafah pada musim haji tahun lepas. 

“Justeru, kami permudahkan akses dengan menyediakan perisian yang boleh dimuat turun dari laman web agensi ini dan di semua platform media sosial,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 40 penterjemah terlatih dan berpengalaman di agensi itu, dan bagi menjaga ketepatan maksud khutbah, kesemua mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (MA), ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang bahasa selain latar belakang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.

Antara bahasa utama untuk terjemahan ialah Inggeris, Perancis, Mandarin, Benggali, Rusia, Melayu, Urdu, Parsi, Hausa dan Turkiye. 

Bagi umat Islam Malaysia yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Arab, terjemahan khutbah ke Bahasa Melayu boleh diikuti  menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa .

Dua pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin dan Dr Ahmad Wifaq Mokhtar bersama-sama dua rakan penterjemah dari Indonesia bertanggungjawab untuk melakukan penterjemahan bahan-bahan seperti khutbah Jumaat, Hari Raya, Hari Arafah dan solat istimewa seperti gerhana matahari serta bulan.

“Kami bergabung dengan penterjemah dari Indonesia disebabkan persamaan dan kedekatan bahasa kita (Melayu) dengan mereka. Kami akan bergilir. Khutbah Arafah tahun ini giliran saudara kami dari Indonesia.

“Khutbah Raya pada esok harinya giliran saya, ia akan dibaca dalam bahasa Melayu. Khutbah Jumaat minggu ini oleh Dr (Ahmad) Wifaq, juga Bahasa Melayu,” kata Muhammad Mujahid ketika ditemui Bernama.–AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts