Pakar ‘elektrik’ gabung tenaga bantu mangsa banjir

Sepang: “Periksa suis utama atau soket, pastikan tidak basah atau ada lumpur sebelum menghidupkan peralatan elektrik”. Itu antara pesanan penting yang sering diingatkan sukarelawan berpengalaman dalam bidang kejuruteraan elektrik Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak kepada mangsa banjir.

Tenaga pengajar jurusan Pendawaian Elektrik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak, Johor berkata papan pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) dalam suis utama yang masih basah atau berlumpur boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Kalau dalam keadaan basah, jangan ‘on’ (hidupkan suis) lagi. Kalau plag atau soket masih basah tapi kita terus ‘on’ suis, boleh berlaku renjatan elektrik dan kita risau peralatan elektrik rosak dan pengguna terdedah kepada bahaya.

“Sebab itu saya bersama rakan-rakan lain turun ke beberapa lokasi dilanda banjir untuk periksa suis utama dan soket di setiap rumah mangsa banjir secara percuma. Kami hanya memerlukan waktu minimum dua minit bagi memeriksa soket dan lima minit untuk ELCB,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 600 tenaga mahir kejuruteraan elektrik di seluruh negara bergabung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Teknikal Islam Malaysia (Komtech) memberikan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian elektrik di kawasan kediaman yang terjejas akibat banjir.

Sejak banjir mulai surut, pasukan yang dikenali sebagai SBP (Skuad Baik Pulih) bergerak ke Sepang, Shah Alam, Hulu Langat di Selangor serta Bentong, Temerloh dan Karak di Pahang.

“Misi pascabanjir ini merupakan program pertama kami yang semestinya menjanjikan pengalaman baharu,” katanya yang berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, tenaga pengajar Politeknik Melaka Ahmad Fauzi, 43, berkata pengalaman ini memberi pendedahan sebenar mengenai kaedah pendawaian elektrik yang sebelum ini hanya diajar di dalam kelas.

“Saya mengajar Kejuruteraan Elektrik sejak 2004. Boleh kata ini pengalaman ‘real time’ melihat sendiri keadaan suis utama dan soket yang ditenggelami banjir. Bila banjir surut, ada lumpur kering di dalam bahagian tersebut. Kalau dalam kelas, tidak ada pengalaman ini,” katanya.

Juruelektrik Mohd Sofian Simat, 40, berkata beliau terpanggil untuk menyertai program sukarelawan itu bagi meringankan beban mangsa banjir berbekalkan ilmu dalam bidang Elektrik Domestik yang dipelajarinya di Giat MARA, Jelebu, Negeri Sembilan.

“Saya harap ilmu yang ada ini diberkati Allah dan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Elektrik Kuasa Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Mohamad Anwar Irham Yosri, 25, pula menyifatkan inisiatif Komtech sebagai pendedahan sebenar kepada penuntut sepertinya.

“Saya pernah menjalani latihan industri di sebuah hotel di Putrajaya. Namun pengalaman sebagai sukarelawan ini menguji kemahiran saya membaiki pendawaian elektrik pascabanjir sebab ia berbeza dengan teori,” katanya.

Senada dengan Mohamad Anwar, Mohamad Afzai Azram, 17, seorang penuntut Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Bentong, berkata perkhidmatan ini memberi peluang kepadanya untuk menimba pengetahuan baharu.

“Sukarelawan lain banyak memberi tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya antara sukarelawan paling muda,” kata penuntut jurusan Kejuruteraan Teknologi Elektrik itu. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts