Larangan bertudung bermakna majikan tidak hormati Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR – Majikan yang meminta pekerja membuka tudung jelas tidak menghormati Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan setiap individu berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. 

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata sehingga sekarang syarat untuk seseorang menjadi pramugari adalah perlu mematuhi etika pakaian ditetapkan syarikat penerbangan, termasuk tidak bertudung.

Ketetapan itu, katanya, mengakibatkan sesetengah wanita Muslim terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan ada  yang terpaksa menarik diri daripada menceburi kerjaya itu.

“Wanita ISMA meraikan kebebasan kod pakaian seragam baharu diperkenalkan Syarikat Penerbangan British Airways kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu.

“British Airways berpangkalan di London sudah pasti menerima hakikat betapa majmuknya masyarakat mereka kini secara aktif mengambil bahagian dalam pelbagai industri perkhidmatan.

“Implementasi pilihan pakaian seragam baharu bersama tunik dan tudung untuk pramugari seharusnya menjadi ikutan syarikat penerbangan negara ini, memandangkan Islam agama persekutuan dan Muslim merupakan penduduk majoriti.

“Malu sekiranya, kerajaan tidak mampu melaksanakan dasar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata manfaat pilihan uniform baharu itu bukan sahaja kepada pekerja wanita Muslim, tetapi kepada semua wanita yang mempunyai pilihan mengenakan pakaian seragam lebih sopan dan selesa.

Katanya, ISMA komited memperjuangkan kebebasan wanita muslimah untuk mengamalkan tuntutan agama mereka, terutama di tempat kerja. 

Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta melakukan reformasi berhubung polisi pemakaian patuh syariah pramugari bagi syarikat penerbangan tempatan.

Perubahan itu mampu memberi kelonggaran kepada pramugari Muslim bagi menjaga aurat mereka, kata bekas Setiausaha Kanan kepada Kerajaan Negeri Selangor, Hanapi Jusoh mengulas isu sama.

Terbaharu, Profesor Perubatan dari USIM, Dr Rafidah Hanim Mokhtar dilaporkan kesal kerana Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, dilihat masih tidak mampu menyelesaikan isu pilihan bertudung bagi pramugari Islam di negara ini.

Malaysia mempunyai pelbagai agensi agama, namun malangnya ia bukan penyelesaian pada masalah yang dihadapi pramugari Muslim, kata Dr Rafidah Hanim. – The Merdeka Times

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts