Larangan jual minuman keras di kawasan majoriti Islam di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) akan menguatkuasakan larangan penjualan minuman keras di semua kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di daerah ini bermula hari ini.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad, berkata perkara itu diputuskan melalui perbincangan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MPKK Bilangan 11/2021 kelmarin.

Beliau berkata, larangan itu bakal dikuatkuasakan melalui syarat permohonan atau pembaharuan lesen perniagaan di bawah pentadbiran MPKK.

Katanya, jualan minuman keras di kedai serbaneka di kawasan majoriti penduduk bukan beragama Islam masih dibenarkan dengan beberapa syarat.

“MPKK ada kuasa untuk pelesenan yang mana kita boleh syaratkan untuk tidak dibenarkan menjual minuman memabukkan sama ada bir mahupun arak (liquor). Jadi yang ini kita akan masukkan untuk kawasan (penduduk) yang majoriti Muslim untuk menjaga sensitiviti.

“Namun bukan semua kawasan (di Kuala Kangsar) kita akan laksanakan. Tahun 2022 kita akan mulakan untuk kawasan yang memang jelas majoriti penduduknya beragama Islam yang bermakna ianya adalah mengikut kepada kes.

“Bermakna, orang (bukan Islam) di komuniti itu yang mahu mendapatkan minuman keras boleh membeli di luar kawasan itu namun minumlah di rumah sahaja supaya tidak menimbulkan gangguan kepada orang awam akibat mabuk dan seumpamanya,” katanya.

Dua minggu lalu, media melaporkan gabungan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman bagi mendesak MPKK supaya penjualan minuman keras di beberapa kedai serbaneka sekitar Kuala Kangsar dihentikan.

Desakan itu dibuat susulan minuman keras mudah didapati sedangkan majoriti penduduk di Kuala Kangsar adalah orang Islam, selain mengambil kira kebanyakan pekerja di kedai serbaneka di Kuala Kangsar juga dalam kalangan Muslim.

Zulqarnain berkata bagi premis yang khas menjual minuman keras, ia adalah di bawah Enakmen Hiburan (Enakmen Hiburan Tempat-Tempat Hiburan 1997) yang bidang kuasanya berada di bawah kawalan Pegawai Daerah.

“Itu adalah ‘heavy liquior’ (arak dengan tinggi kadar alkohol), yang mana hanya kedai tertentu sahaja masih boleh dibeli. Tetapi untuk kedai serbaneka atau kedai runcit, yang itu barulah MPKK boleh kawal melalui lesen perniagaan mereka,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts