Mahkamah Persekutuan khilaf: Langgar bidang kuasa negeri, hukum syarak

 

BANGI – Wakil pertubuhan peguam mengenal pasti beberapa perkara pokok di mana bidang kuasa negeri berkaitan Islam dan hukum syarak, telah secara khilaf dilanggar ketika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kes agama tiga kanak-kanak pada 29 Januari lalu.

Pada masa sama, pertubuhan itu juga menegaskan bahawa mereka tidak menyokong tindak-tanduk bapa kanak-kanak berkenaan, Muhamad Ridhuan Abdullah yang menyembunyikan anak bongsunya, Prasana Diksa, dan memisahkan anak kecil itu daripada ibunya, M Indira Gandhi, selama sembilan tahun.

Pengamal undang-undang yang juga aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid berkata, pengenalpastian perkara-perkara pokok itu dicapai pada pertemuan dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Ipoh, Perak, semalam.

Pertemuan yang diatur oleh Gerakan Pembela UMMAH, sebuah gabungan pertubuhan membabitkan lebih 300 NGO Islam, turut disertai Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Haji Rahim Sinwan; dan Pengasas Malaysian Lawyers Circle (MLC) yang juga Exco Majlis Peguam, Haji Lukman Sheriff.

Beliau yang turut menghadiri perjumpaan itu memberitahu Ismaweb.net bahawa pertemuan itu dibuat hasil Sidang Meja Bulat UMMAH: Kesan Kes Indira Gandhi Ke Atas Perundangan, pada 7 Februari lalu.

“Dalam perbincangan ini kami mengenal pasti perkara-perkara pokok di mana bidang kuasa negeri berkaitan Islam dan hukum syarak telah secara khilaf dilanggar dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya.

Aidil berkata, perbincangan lebih satu jam dengan Harussani juga menjurus kepada mengenal pasti pihak yang mempunyai locus standi untuk memfailkan Semakan Semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan itu

Mengenai kes itu, beliau berkata, pertubuhan berkenaan kesal tindakan Muhamad Ridhuan memisahkan Prasana Diksa daripada ibunya.

“Bahkan barisan peguam yang mewakili Ridhuan di peringkat awal telah menarik diri daripada terus mewakilinya, atas sikap Ridhuan yang tidak menghormati proses kehakiman di mahkamah, dan sukar dikawal oleh para peguam.

“Tetapi hakikatnya isu berkaitan hak jagaan anak telah diputuskan dalam satu tindakan sivil lain, di mana mahkamah (sivil) telah pun memberikan perintah kepada Ridhuan untuk memulangkan hak jagaan Prasana Diksa kepada Indira, dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Ridhuan atas keingkarannya.

“Ia tiada kena mengena dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang lebih banyak menyentuh aspek-aspek kritikal mengenai kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan; keesahan pindaan Perlembagaan yang memasukkan Perkara 121(1A); Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di bawah kekuasaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu; dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan turut merujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, untuk membuat keputusan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir Indira Gandhi berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa, 9, kepada Islam.

Menerusi 99 muka surat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Mahkamah Persekutuan mendapati Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

“Seksyen ini masing-masing menetapkan seseorang mesti mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab secara jelas dan dengan kerelaan sendiri, manakala kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.

“Dalam menguatkuasakan peruntukan undang-undang enakmen ini, mahkamah tidak perlu untuk menyiasat prinsip undang-undang syariah atau untuk menyelesaikan isu undang-undang doktrin yang timbul daripada perkara ini,” kata Zainun. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts