Malaysia kekal destinasi pilihan utama pelancongan Islam

 

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi nombor satu dalam pasaran pelancongan Muslim global, dengan pesaing pantas berusaha merapatkan jurang, menurut satu kaji selidik tahunan yang paling komprehensif bagi sektor ini.

Kaji selidik Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-CrescentRating atau dikenali sebagai Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018, yang meninjau 130 destinasi, memperlihatkan Malaysia kekal di kedudukan di teratas buat tahun kelapan berturut-turut.

Indonesia pula meneruskan pertumbuhan tahunannya apabila menduduki tempat kedua bersama Emiriah Arab Bersatu dalam penarafan keseluruhan.

Indeks ini juga mendedahkan bahawa, beberapa destinasi bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Asia sudah meningkatkan penarafan masing-masing berbekalkan usaha berterusan dalam menyesuaikan perkhidmatan disediakan untuk memenuhi keperluan dan menarik pasaran pelancongan Islam.

Singapura mengekalkan kedudukan di tangga teratas bagi pasaran destinasi bukan OIC, di hadapan Thailand dan United Kingdom manakala Jepun dan Taiwan memasuki lima tangga teratas buat kali pertama sejak GMTI dilancarkan.

GMTI 2018 membuktikan bahawa pasaran pelancongan Islam bakal meneruskan pertumbuhan pantas untuk mencecah angka US$220 bilion pada 2020.

Pasaran ini dijangka akan terus meningkat sebanyak US$80 bilion untuk mencecah angka US$300 bilion menjelang 2026.Pada 2017, dianggarkan kira-kira 131 juta ketibaan pelancong Islam dicatatkan di peringkat global – meningkat daripada 121 juta pada 2016 dan ini dijangka bertambah kepada 156 juta pengunjung menjelang 2020, merangkumi 10 peratus daripada segmen pelancongon.

“Kami kini mula melihat kesan pelaburan dan komitmen oleh destinasi di seluruh dunia terhadap pasaran pelancongan Islam, yang manfaatnya diperlihatkan oleh perubahan penarafan yang nyata.

“Usaha tertumpu kepada destinasi seperti Indonesia, Singapura, Jepun dan Taiwan menggunakan data dan maklumat daripada laporan GMTI terdahulu dan ia harus dipuji kerana negara berkenaan pada masa ini sudah merapatkan jurang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating and HalalTrip, Fazal Bahardeen.

“Pada tahun ini, kami sudah merombak kriteria indeks untuk mencerminkan strategi pertumbuhan yang dilaksanakan oleh destinasi berkenaan bagi mengalu-alukan pelancong Islam yang menyaksikan pergerakan positif dalam Indeks.

“Kami juga sudah melancarkan ‘Model Pertumbuhan and Inovasi CrescentRating’ untuk membantu destinasi berkenaan menggunakan laporan ini secara praktikal bagi merancang strategi pertumbuhan dan inovasi mereka dalam segmen pelancongan yang pantas berkembang ini,” tambah Bahardeen.

Malaysia mencatatkan markah Indeks 80.6, diikuti oleh UAE sementara Indonesia 72.8 markah.

Sebagai perbandingan, Singapura, yang merupakan destinasi bukan OIC dengan markah tertinggi, mencatatkan 66.2 markah.

Taiwan dan Jepun terus meningkatkan penarafan keseluruhan dengan purata markah GMTI mengikut rantau yang memainkan peranan menjadikan Asia sebagai kawasan utama di dunia untuk menarik pelancong Islam, diikuti oleh Eropah.

“Kami gembira kerana dapat berganding bahu dengan CrescentRating dalam penyediaan maklumat terperinci mengenai pasaran pelancongan Islam bagi pihak-pihak berkepentingan dalam industri pelancongan.

“Banyak destinasi yang sudah berjaya di seluruh dunia ingin mempelbagaikan asas pengunjung bagi mengekalkan kadar pertumbuhan pelancong dalam pasaran kembara yang semakin hari semakin kompetitif.

“Segmen pelancongan Islam yang pantas berkembang membuka peluang besar, tetapi untuk memanfaatkannya, kita hendaklah memahami keperluan dan pilihan pelancong Islam dan cara menyesuaikannya serta menyerasikan produk, juga perkhidmatan untuk memenuhi keperluan itu.

“Kami percaya bahawa GMTI memberikan nilai sebenar kepada perniagaan dan kerajaan yang ingin memanfaatkan segmen pasaran yang penting dan semakin berkembang ini dan berharap usaha ini akan terus memacu perkembangan pelancongan halal,” kata Presiden Serantau Mastercard bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei, Safdar Khan.

Dianggarkan bahawa rantau ASEAN akan mengalu-alukan ketibaan lebih 18 juta pelancong Islam menjelang 2020, mewakili hampir 15 peratus daripada ketibaan pelancong di rantau ini.

“Berasaskan indeks ini, Malaysia terus mengukuhkan status sebagai destinasi halal terulung di dunia. Ini mencerminkan pelbagai inisiatif yang sudah diambil pemain industri dalam menyediakan lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan yang mesra Islam sebagai sebahagian daripada tawaran kembara dan pelancongan Malaysia.

“Semakin besar saiz pasaran Islam berkembang, semakin meningkat potensi ekonomi daripada segmen ini. Perniagaan di Malaysia juga perlu memahami dan menganalisis permintaan dengan lebih baik dan juga merangka tawaran baharu untuk kekal di hadapan,” tambah Safdar Khan.

Antara inisiatif ini termasuk penubuhan Pusat Pelancongan Islam (ITC) bagi menyelaraskan risikan pasaran, merangka dasar pelancongan dan membina kapasiti serta penyediaan rangka kerja di bawah Pelan Induk Industri Halal 2.0 dalam menangani perkembangan industri.

GMTI kini adalah data berasaskan kefahaman utama yang membantu destinasi pelancongan, perkhidmatan pelancongan dan pelabur untuk mengukur kekuatan dan pertumbuhan segmen pelancongan ini dan menjadi penanda aras kemajuan masing-masing untuk menarik minat pelancong Islam.

Kesemua 130 destinasi dalam GMTI 2018 sudah diberi markah berasaskan pelbagai kriteria, dengan beberapa ukuran baharu ditambah dalam kaji selidik tahun ini termasuk Model Pertumbuhan-Inovasi CrescentRating.

Ukuran utama kriteria berkenaan merangkumi infrastruktur; komunikasi dan cara sesebuah destinasi memasarkan kedudukannya kepada khalayak sasaran; alam sekitar dan perkhidmatan. Setiap kriteria diberi wajaran tertentu sebagai sebahagian daripada markah keseluruhan indeks. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts