KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Pakar keselamatan jalan raya menggesa supaya infrastruktur jalan di Malaysia dirombak secara besar-besaran kerana sistem sedia ada terlalu memfokuskan kepada kereta dan lori, sehingga membahayakan penunggang motosikal dan basikal.
Mereka menegaskan masalah seperti lorong yang sempit, perancangan lemah dan tiada pemisahan fizikal menjadikan pengguna dua roda sentiasa terdedah kepada risiko.
Bekas Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh berkata, reka bentuk jalan di negara ini sejak dulu lagi gagal mengambil kira penunggang kapcai (motosikal bawah 250cc).
“Ini berpunca terus daripada reka bentuk jalan yang lemah,” katanya.
“Penunggang basikal tidak sepatutnya berada di jalan awam bersama kenderaan lain kecuali ada lorong basikal khas. Kelajuan purata mereka sekitar 25km/j terlalu rendah untuk selamat berada di laluan bercampur.”
Ketiadaan lorong khas memaksa penunggang motosikal melakukan tindakan berisiko seperti lane filtering dan lane splitting iaitu menyusur atau mencelah di antara kenderaan yang bergerak laju dan perlahan. Amalan ini amat berbahaya kerana faktor titik buta pemandu dan perbezaan kelajuan.
Menurut Suret, Malaysia mencatat purata 12 kematian penunggang motosikal setiap hari — iaitu 4,500 kematian pada tahun 2023 sahaja.
Belajar daripada negara lain
Suret berkata banyak negara berjaya mengurangkan kematian pengguna dua roda melalui perubahan infrastruktur.
- Negara Barat membina rangkaian lorong basikal yang lengkap kerana berbasikal menjadi pilihan utama ramai penduduk.
- China dan Taiwan yang dahulunya mempunyai kadar kematian penunggang tinggi, berjaya menurunkannya dengan membina rangkaian penuh lorong motosikal.
- Vietnam pula menguatkuasakan peraturan menunggang di sebelah kiri dan had laju 70km/j untuk motosikal kecil.
Lorong biru DBKL tidak berkesan
Suret mengkritik lorong basikal biru DBKL kerana jarang digunakan penunggang basikal, malah sering diambil alih penunggang motosikal ketika kesesakan lalu lintas.
Katanya, DBKL sepatutnya membina lorong basikal di taman, kawasan perumahan dan zon trafik rendah.
Namun, apa yang berlaku ialah lorong tersebut di jalan raya utama tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penunggang basikal.
Beliau mencadangkan lorong tersebut diubah suai secara rasmi menjadi lorong motosikal demi keselamatan, kerana 51% daripada jumlah kenderaan di Malaysia adalah motosikal.
Jalan bercampur memang bahaya
Pakar keselamatan pengangkutan dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Law Teik Hua berkata, kebanyakan jalan di Malaysia tidak direka untuk penggunaan bercampur antara dua roda dan empat roda.
Masalah utama termasuk:
- Lorong sempit
- Bahu jalan tidak diselenggara
- Tiada halangan fizikal antara kenderaan laju dan pengguna dua roda
Beliau mencadangkan Malaysia mencontohi negara seperti Belanda, Jepun dan Denmark yang menyediakan lorong basikal terlindung, zon khas motosikal dan reka bentuk trafik pintar.
Perancangan jalan perlu lebih pintar
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, kerajaan mesti serius dalam merancang jalan yang mengutamakan pengangkutan aktif seperti berbasikal dan menunggang motosikal dengan selamat.
Katanya, banyak penunggang motosikal menggunakan lorong basikal kerana tiada lorong khas untuk mereka.
Lorong DBKL juga disifatkan tidak selamat kerana:
- Kurang penguatkuasaan
- Sering disekat atau digunakan kereta dan motosikal
- Bermula dan berakhir secara tiba-tiba
- Tiada pemisahan fizikal dari trafik
Pendidikan & sikap pengguna jalan
Rosli menekankan perlunya kombinasi penguatkuasaan ketat, saman, kamera pemantau, reka bentuk lorong yang jelas, dan halangan fizikal seperti tiang penghadang atau bonggol.
Beliau juga berkata, ramai pengguna jalan di Malaysia kurang kesedaran, pendidikan tentang hak penunggang dua roda, latihan empati untuk pemandu, serta perlindungan undang-undang yang kuat untuk pengguna bukan bermotor.
Sumber : MalayMail