Mana lebih afdal wanita solat tarawih di rumah atau di masjid?

Assalamualaikum, ustaz. Di manakah tempat paling afdal untuk wanita solat tarawih, di masjid atau di rumah? Saya akan lebih bersemangat untuk tarawih berjemaah di masjid berbanding solat sendiri di rumah kerana suami saya juga pergi ke masjid. Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan Jawapan

Tempat solat terbaik bagi wanita adalah di rumah, namun Islam tidak melarang mereka pergi ke masjid terutamanya untuk solat berjemaah pada bulan Ramadan. Namun keharusan ini terikat dengan syarat selamat daripada fitnah.

Justeru, para wanita yang telah berkahwin perlu mendapat keizinan suami, tidak tabarruj dan sentiasa menjaga adab sebagai seorang Muslimah semasa pergi ke masjid.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Umat Islam semestinya tidak melepaskan peluang menggandakan amal ibadah pada bulan Ramadan, terutamanya ibadah solat tarawih secara berjemaah di masjid. Dalam mencari fadilat sesuatu amalan, wujud persoalan mengenai tempat solat tarawih yang paling afdal bagi wanita.

Isu ini telah dibahaskan dalam artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Al-Kafi li al-Fatawi #936: Tempat Solat Terbaik Bagi Seorang Wanita. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah SAW:

صلاةُ المرأةِ في بيتها أفضلُ من صلاتها في حُجْرَتِها، وصلاتُها في مخدَعِها أفضلُ من صلاتها في بيتها

Maksudnya“Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih afdal daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya.”

Riwayat Abu Daud

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan larangan tersebut ialah makruh tanzih kerana keadaan wanita pada zaman itu mengamalkan tabarruj dalam berhias, justeru solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita bagi mengelak fitnah.

Walaupun rumah ialah tempat terbaik bagi seorang wanita melaksanakan solat, namun Islam tidak menghalang wanita untuk pergi ke masjid. Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

لا تمنعوا إماءَ الله مساجدَ الله، ولكن لِيَخرُجْنَّ وهنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya“Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.”

Riwayat Abu Daud

Melihat kepada keadaan kini, kita dapati wanita keluar solat di masjid lebih selamat daripada fitnah berbanding keluar ke tempat-tempat awam yang lain seperti pusat membeli-belah atau aktiviti sukan di pusat sukan. Fitnah di tempat-tempat tersebut lebih besar dan perlu lebih berjaga-jaga berbanding fitnah bagi wanita ketika solat jemaah di masjid.

Kelebihan melaksanakan ibadah secara berjemaah di masjid turut boleh dinikmati oleh wanita lebih-lebih lagi untuk mengejar fadilat dan pahala solat tarawih berjemaah dan mendengar bacaan imam yang dapat memberikan motivasi dan semangat untuk melaksanakan ibadah pada setiap malam Ramadan.

Namun begitu, wanita yang pergi ke masjid perlu mendapat keizinan suami, tidak memakai wangi-wangian, tidak tabarruj serta sentiasa menjaga adab dan kehormatan sebagai seorang Muslimah agar dapat melindungi diri masing-masing daripada sebarang fitnah.

Wallahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts