Mashaf al-Quran Braille Malaysia satu sejarah

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata kejayaan menerbitkan Mashaf al-Quran Braille Malaysia, semalam adalah satu sejarah.

Sehubungan itu, beliau memanjatkan rasa tawaduk dan penuh syukur kepada Allah kerana telah dilancarkan secara rasmi Mashaf Al-Quran Braille Malaysia.

“Sudah tentu kejayaan menerbitkan Mashaf al-Quran Braille Malaysia ini adalah satu sejarah buat kita semua,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, usaha fardu kifayah itu hakikatnya telah memenuhi keperluan kira-kira 25,000 komuniti OKU penglihatan yang beragama Islam untuk mendekati mukjizat agung al-Quran.

“Penghasilan ini, menjadi satu wadah bagi komuniti OKU untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan lebih mudah dan terperinci,” ujarnya.

Beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) atas usaha amat bermakna itu.

Idris juga mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut terlibat.

“Besar harapan saya Mashaf al-Quran Braille ini akan digunakan dengan sangat meluas demi melahirkan ramai generasi al-Quran dalam kalangan OKU,” tambahnya.

Justeru, beliau akan menyampaikan hasrat itu kepada Jemaah Menteri khususnya Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai cadangan untuk menjadikan Mashaf al-Quran Braille Malaysia sebagai rujukan utama dalam pengajian al-Quran di sekolah-sekolah Pendidikan Khas di seluruh tanah air. – HARAKAHDAILY

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts
Read More

Syiah tetap sesat

  KUALA LUMPUR – Ajaran Syiah yang difatwakan sebagai sesat di negara ini tidak seharusnya diamalkan dan disamakan…