Masjid kariah disaran lantik imam secara tetap, kontrak 

KUALA LUMPUR: Masjid kariah berkapasiti besar dan mempunyai nilai sumbangan yang tinggi di Malaysia disaran mewujudkan jawatan imam secara tetap (tidak berpencen) atau kontrak bagi menyanjungi kedudukan golongan berkenaan dalam kalangan umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut, berkata sekiranya jawatan berkenaan dapat diwujudkan, ia perlu mengambil kira keperluan kehidupan semasa ketika ini.

“Masjid kariah wajar melantik jawatan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid termasuk bilal dan siak secara tetap dan bertugas sepenuh masa bermula masuk waktu solat Subuh hingga tugas mereka tamat.

“Bagi perlantikan itu, selain menggunakan sumber pendapatan masjid itu sendiri, pihak masjid boleh mencari sumber kewangan atau bantuan daripada pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis atau jabatan agama negeri masing-masing.

“Pada masa sama, imam atau AJK yang dilantik itu dapat menumpukan tugas sepenuh masa mengikut tempoh yang ditetapkan di masjid berkenaan,” katanya kepada BH.

Nooh berkata, apabila perkara berkenaan dapat dilaksanakan, secara tidak langsung masjid di negara ini dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti agama seperti bacaan al-Quran, zikir, solat sunat dan pelbagai aktiviti sampingan.

“Sekiranya pihak masjid dapat mewujudkan jawatan itu, ia akan menyelesaikan isu gaji minimum RM1,500 yang berlaku dalam kalangan imam atau jawatan lain di masjid.

“Apabila sesebuah masjid mempunyai satu pasukan pentadbiran yang baik daripada segi pengurusan dan penganjuran aktiviti berfaedah, secara tidak langsung akan menarik minat masyarakat Islam untuk selalu hadir dan mengimarahkan masjid,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak tidak seharusnya membebankan tugas imam atau jawatan lain di masjid dengan elaun atau gaji tidak setimpal dengan keperluan kehidupan ketika ini.

“Secara umumnya pihak pemerintah daripada Persekutuan dan negeri perlu menyenaraikan syarat tugas pegawai masjid dengan nilai gaji atau elaun supaya setimpal.

“Ia sama seperti penjawat awam dan perkara itu diguna pakai terhadap pelantikan pegawai di masjid kariah berkenaan.

“Mereka yang dilantik perlu diatur tugasnya menggunakan rekod masuk tugas seperti menggunakan kad perakam waktu supaya tugas mereka lebih adil dan bertanggungjawab,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts