Melaka bakal adakan sambutan Bulan Solat

BUKIT BARU – Kerajaan negeri akan melancarkan sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Melaka seiring dengan sambutan yang diadakan di peringkat kebangsaan awal bulan ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sambutan itu akan menitikberatkan amalan solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini sebagai menyahut seruan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Justeru beliau berharap umat islam di megeri ini dapat bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau dengan solat berjemaah, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

“Solat berjemaah dan mengimarahkan masjid adalah satu aktiviti yang amat dekat di hati saya, sehubungan itu dalam bulan yang baik ini, bulan Rejab, bulan ibadat solat difardukan kepada umat muslimin, saya menyahut seruan JAKIM untuk melancarkan Bulat Solat peringkat negeri Melaka.

“Bagi memaksimumkan pengimarahan masjid dan surau, kerajaan negeri turut prihatin agar setiap masyarakat Islam mendalami ilmu agama secara tidak formal dan berterusan mewujudkan kelas pengajian takmir di masjid serta surau terpilih di seluruh negeri Melaka.

“Seramai 172 orang Guru Takmir telah dilantik bagi mengimarahkan 584 masjid dan surau di Melaka dengan peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.53 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian bersempena Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Melaka 1443H, semalam.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga turut mengalu-alukan dasar baru Takmir peringkat persekutuan yang mengembangkan sayap program Takmir bukan hanya di masjid dan surau sahaja.

Oleh yang demikian, ujar beliau, pada tahun ini program Takmir juga akan dilaksanakan di institusi kendalian Jabatan Penjara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Melaka serta perkampungan Orang Asli.

“Saya mengharapkan program Takmir ini dapat memperkasakan Program Halaqah yang telah dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di institusi terbabit.

“Pada pandangan saya, Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM banyak membantu kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi agama,” katanya. -Melaka Hari Ini

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts