home Semasa Memohon keikhlasan dari Allah

Memohon keikhlasan dari Allah

 

1. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan dua orang Nabi iaitu Nabi Yusuf dan Nabi Musa sebagai manusia yang dikurniakan keikhlasan. Kedua-dua orang Nabi ini dipuji dalam dua konteks yang berbeza.

2. Nabi Yusuf dipuji sebagai seorang yang dikurniakan keikhlasan, dibersihkan jiwanya kerana memelihara diri dari fitnah godaan wanita. Lalu Allah berfirman:

كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلْفَحْشَآءَ ۚ إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُخْلَصِينَ

“Dan Kami menjauhkan darinya (Nabi Yusuf) perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dikurniakan keikhlasan (dibersihkan dari segala dosa.)”

3. Perhatikan bagaimana sifat Nabi Yusuf yang memelihara dirinya. Perkara ini tidak datang melainkan hasil daripada keikhlasan jiwanya yang takut kepada Allah. Mereka yang memiliki keikhlasan jiwa akan dipelihara oleh Allah dari segala kejahatan.

4. Ketika menghuraikan ayat ini, Sheikh al-Tantawi menyebutkan:

إنه من عبادنا الذين أخلصناهم لطاعتنا وعصمناهم من كل ما يغضبنا

“Sesungguhnya Nabi Yusuf adalah seorang yang kami sucikan jiwanya (kurniakan keikhlasan) untuk melakukan ketaatan dan kami pelihara mereka dari segala perbuatan yang dibenci. (Tafisr al-Wasit)

5. Begitu juga Nabi Musa yang dipuji oleh Allah atas keikhlasan dan kesungguhan jiwanya menyampaikan dakwah sehingga diseru oleh Allah di Tursina. Firman Allah:

وَاذْكُرْ في الْكِتَابِ مُوسَى إِنَّهُ كَانَ مُخْلِصاً وَكَانَ رَسُولاً نَّبِيّاً* وَنَادَيْنَاهُ مِن جَانِبِ الطُّورِ الأيمن وَقَرَّبْنَاهُ نَجِيّاً*

“Dan sebutkanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah orang pilihan (yang dikurniakan keikhlasan), dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi. Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.”

6. Kesungguhan dan keikhlasan Nabi Musa dan Nabi Yusuf tidak boleh dipertikaikan. Kesungguhan dan keikhlasan mereka dalam berdakwah sehingga Allah memelihara mereka dari segala fitnah dan menyelamatkan mereka dari segala bala ujian, lalu Allah angkat kedudukan mereka dekat di sisiNya.

7. Ikhlaska jiwa kita dalam setiap perkara yang dilakukan dan mohonlah kepada Allah agar dikurniakan hati yang ikhlas kepadaNya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *