Mufti Wilayah ajak umat Islam contohi sikap keluarga Adib

 

BANGI – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak seluruh umat Islam mencontohi keperibadian serta sikap positif keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau dalam tulisan Qalam Mufti yang diterbitkan di laman web rasminya berkata, pihaknya amat tersentuh dengan kenyataan bapa Muhammad Adib sehari sebelum keputusan inkues diumumkan.

Bapa Adib, Mohd Kassim dipetik sebagai berkata, “Apapun keputusan, saya dan keluarga perlu reda namun harapan kami pastinya ingin melihat keadilan.”

Kenyataan ini, katanya, membuktikan bahawa bapa Muhammad Adib yang mewakili seluruh keluarganya memiliki pegangan agama yang kuat.

“Sebagai seorang mukmin kita diminta beriman kepada Qadha dan Qadar yang telah pun ditetapkan Allah, bersabar menerimanya dan sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan-Nya. Yakin dan percayalah, inilah sepatutnya menjadi pegangan dan sikap seorang Mukmin sejati.

“Justeru, saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar mencontohi sikap positif yang ditunjukkan ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan keputusan yang telah dimaklumkan, antara sikap yang sepatutnya dilakukan oleh masyarakat adalah menghindari sebarang aksi dan tindakan yang menyalahi undang-undang, sebaliknya mematuhi keputusan dan peraturan yang ditetapkan.

 

 

“Elakkanlah daripada melakukan tindakan yang tidak wajar atau apa-apa kenyataan yang boleh membakar perasaan marah, tidak puas hati atau kebencian kepada mana-mana pihak sehingga boleh mencetuskan keadaan dan suasana yang tidak tenteram.

“Pihak berkuasa seperti PDRM dan mereka yang berautoriti diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan dengan sebaiknya,” katanya.

Serentak itu, Dr Zulkifli turut mengajak umat Islam supaya pandang ke hadapan dengan penuh positif dan bersama mempertahankan keharmonian dan keamanan hidup negara ini.

“Ketahuilah sesungguhnya keharmonian dan kesentosaan hidup adalah nikmat yang amat berharga.

“Jika ianya hilang, pasti banyak lagi perkara akan turut mengiringinya hilang bersama. Ketika itu penyesalan tiada berguna lagi,” katanya.

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad membacakan keputusan inkues kematian Muhmaad Adib disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih orang tidak dikenali.

Rofiah berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diheret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Beliau berkata, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara 20 dan 30 orang berkumpul.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts