MUIS perkasakan hab halal di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkasa industri halal di negeri ini dengan langkah mewujudkan Muis hab halal.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, segala permohonan dan pemeriksaan berkaitan urusan halal akan mula diambil alih oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan bukan lagi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains).

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan halal toyyiban terus menjadi fokus negeri Sabah agar tidak timbul keraguan dalam kalangan masyarakat Islam mengenai status halal premis dan produk halal di negeri ini.

Katanya, menerusi hab halal itu, MIUS akan turut membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mendapatkan persijilan halal bagi produk-produk yang dikeluarkan.

Menurut beliau, Muis juga akan terus bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengesan kandungan setiap produk yang dipercayai melanggar syarat persijilan halal.

“Walau bagaimanapun, pada jangka masa panjang, MUIS akan berusaha mendapatkan alat kepakaran sendiri bagi memudahkan pemeriksaan kandungan produk halal,” katanya selepas merasmikan Pejabat Muis hab halal, hari ini.

Mohd. Arifin berkata, MUIS bersama Pejabat Mufti Negeri Sabah akan memberi penjelasan berkaitan hukum individu termakan kuih bulan berlogo halal yang mengandungi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi baru-baru ini.

Justeru, menerusi MUIS hab halal ini, pemeriksaan dan penguatkuasaan mengenai produk dan premis halal akan terus dipergiatkan bagi mengelak berlaku pelanggaran persijilan halal di Sabah.

Mengulas lanjut katanya, MUIS juga sedang memproses 80 permohonan persijilan logo halal yang akan cuba diselesaikan pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar memilih dan mendapatkan maklumat mengenai senarai-senarai premis yang sudah diberikan persijilan halal.

“MUIS juga akan membuat laman sesawang sendiri bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai persijilan halal di Sabah. Malah, latihan juga telah diberikan kepada pegawai terlibat bagi memantapkan lagi pengurusan halal sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
9
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts