Munafik gembira muslim berpecah belah

 

1. Hari ini (2 Syaaban) 1439 tahun yang lalu telah berlaku satu peperangan yang dinamakan sebagai Perang Bani Mustaliq. Dalam peristiwa ini, Rasulullah ﷺ melancarkan serangan kepada Bani Mustaliq setelah agen perisikan kaum muslimin Buraidah al-Aslami mengesahkan bahawa al-Harith ibn Dirar (pemimpin Bani Mustaliq) merancang untuk menyerang Rasulullah ﷺ dan Madinah.

2. Dalam peperangan ini, berlaku beberapa insiden yang menarik untuk diteladani. Pertama, tercetusnya perselisihan antara Jahjah ibn Masu’d (dari Muhajirin) dan Sinan ibn Wabr al-Juhani (dari kaum Ansar). Perselisihan yang berlaku di telaga al-Muraysi’ itu hampir mencetuskan peperangan di antara kaum Muslimin. Jahjah telah meminta bantuan kaum Muhajirn untuk berlawan dengan Sinan, begitu juga dengan Sinan. Sinan menyeru kaum Ansar untuk menyokong pergaduhan ini. Sifat asabiyyah ini (iaitu membantu kaum sendiri atas dasar kezaliman) adalah perkara yang dikeji dalam Islam sehingga Rasulullah ﷺ menyifatkan perkara ini sebagai sikap Jahiliyyah.

3. Ketika insiden ini terjadi, Abdullah ibn Ubai (ketua Munafik) geram apabila melihat pergaduhan sesama Muslim tidak berlaku. Bahkan beliau merungut atas sikap Ansar yang selama ini banyak memberi bantuan kepada kaum Muhajirin. Lihatlah sikap si munafiq yang suka melihat perpecahan berlaku dan mengambil kesempatan atas emosi dan perselisihan kaum Muslimin. Bahkan munafiq ini juga dilihat tidak suka kebajikan yang dilakukan oleh kaum Ansar terhadap Muhajirin.

4. Insiden yang kedua pula berlaku setelah selesainya perang Bani Mustaliq ini. Kali ini, kaum munafiq bukan sahaja menimbulkan perpecahan dikalangan kaum Muslimin bahkan cuba mencalar kemuliaan keluarga Nabi. Saidatina Aisyah telah difitnah melakukan perbuatan yang tidak elok dengan Safwan ibn al-Mu’attal al-Sulami.

5. Fitnah ini bukan sahaja memberi tekanan yang amat berat kepada Nabi ﷺ, bahkan ia memberikan kesan kepada perlakuan baik Abu Bakr yang suka menyumbang. Abu Bakar yang sebelum ini telah banyak memberikan bantuan kepada Mistah ibn Usasah telah mula teragak-agak untuk terus memberikan sumbangan kepada Mistah. Ini adalah kerana Mistah dikatakan terlibat dalam penyebaran fitnah ini.

6. Melalui peristiwa ini juga Allah mengingatkan kita akan hukuman Qazaf, iaitu hukuman yang dikenakan terhadap orang yang menuduh orang lain berzina.

7. Perhatikan di sini Tuan-tuan. Kaum munafik yang memusuhi Islam ini bukan sahaja seronok melihat pertelagahan antara kaum Muslimin, bahkan gembira apabila seorang Muslim itu berhenti daripada melakukan amal kebajikan.

8. Peristiwa ini juga mengingatkan kita supaya menjauhi fitnah sesama saudara Muslim!

Mudah-mudahan Allah memelihara kita dari sifat munafik.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts