Muslim dan liberalis berbeza pada asas

 

POLITIK menurut perspektif Islam ialah untuk menjaga agama dan mentadbir dunia.

Agama itu sifatnya menyeluruh, dalam keadaan juzuk-juzuknya terikat antara satu sama lain dan tidak boleh diambil secara terasing.

Contohnya topik harta pusaka tidak dapat dipisahkan daripada topik sistem sosial Islam yang membezakan peranan lelaki dan wanita.

Agama itu sifatnya menyeluruh. Jika dianalisis, agama boleh dibahagikan kepada beberapa kategori bergantung kepada sisi atau dimensi yang dipilih.

Jika dilihat dari dimensi binaannya, agama diasaskan atas akidah. Akidah pula terbahagi kepada perkara yang qat’i (muktamad, putus, definitive, unequivocal) dan yang zanni (tidak muktamad). Qat’i mesti menjadi asas, manakala zanni mesti ikut kerangka qat’i.

Di atas akidah itu terbinanya hukum; hukum akhlak dan hukum amal.

Jika ditinjau dari sisi kehidupan manusia pula, ia terbahagi kepada tuntutan agama dalam konteks individu dan tuntutan agama dalam konteks masyarakat. Salah satu tuntutan itu bersifat fardhu, maka itulah yang disebut fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu kifayah itu fungsinya menyempurnakan fardhu ain. Jika fardhu kifayah tidak terlaksana, maka ia menjadi fardhu ain, dengan erti kata setiap muslim bertanggungjawab untuk memastikan kefadhuan itu terlaksana.

Itu hanya dua contoh sisi pandang yang boleh mengkategorikan agama. Perkara paling penting ialah kategori itu untuk memudahkan analisis sahaja, bukan bertujuan untuk dipisah-pisahkan ketika perlaksanaan, kerana amat jelas larangan Allah Taala agar manusia tidak mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian ajaran agama ini.

Tetapi perangai mengambil sebahagian dan mengabaikan sebahagian adalah perangai kebanyakan orang politik dan orang yang berfikiran liberal tetapi masih mahu bergelar muslim.

Sebagai contoh untuk sisi yang pertama, mereka melaungkan keadilan sebagai tuntutan Islam dalam pemerintahan negara, tetapi mereka melupakan kerangka agama yang meliputi isu akidah dan hukum.

Jika mereka ambil keseluruhan Islam, maka mereka sudah tentu akan sampai kepada noktah yang pasti iaitu keadilan mesti asasnya akidah Islam.

Jika mereka mahukan keadilan berasaskan norma masyarakat antarabangsa, maka jangan dipalitkan atau dilabelkan keadilan menurut norma antarabangsa itu sebagai Islam. Ini kerana asasnya berbeza.

Persamaan dari sudut sifat luaran tidak boleh dijadikan neraca untuk menyamakan antara konsep keadilan dalam Islam dan keadilan menurut norma antarabangsa atau universal.

Sebagai contoh, akidah muslim ialah hanya Islam agama yang benar, agama yang lain batil. Akidah ini adalah salah satu asas bagi hukum keadilan. Oleh itu, walau setinggi mana sekalipun tahap keadilan seseorang muslim itu, ia tetap memandang muslim dan musyrik itu berbeza. Apabila berbeza, sudah tentu akan terdapat perbezaan dalam layanan. Bolehkah perkahwinan campur agama dalam Islam? Bolehkah kita berkongsi rumah ibadat?

Manakala hukum keadilan menurut norma antarabangsa adalah buta agama. Asasnya ialah pertimbangan antara hak dan tanggungjawab, di antara dua pihak iaitu individu dan masyarakat. Di antara kedua-duanya itu terdapat pihak ketiga iaitu negara. Keadilan menurut norma antarabangsa dalam menyelesaikan permasalahan antara ketiga-tiga pihak ini terpisah langsung daripada persoalan agama.

Contoh untuk sisi yang kedua, seseorang muslim diharamkan meminum arak dalam kehidupan individunya. Jika dia engkar, menjadi tanggungjawab fardhu kifayah ke atas masyarakat untuk mencegahnya daripada meminum arak di depan khalayak ramai, demi menyempurnakan larangan meminum arak itu.

Fardhu kifayah mencegah minum arak depan khalayak itu diletakkan atas bahu pemerintah. Apabila pemerintah tidak melaksanakannya, maka tanggungjawab itu kembali kepada setiap muslim sebagai fardhu ain, tetapi hendaklah dilaksanakan menurut disiplin amar makruf nahi mungkar.

Di sisi seorang liberalis, agama itu soal peribadi dan agama tidak boleh punya hak untuk memerintah di luar lingkungan individu. Seseorang liberalis melihat perbuatan minum arak itu, sama ada bersendirian atau di depan khalayak adalah hak individu.

Muslim melihat muslim yang minum arak depan khalayak itu isu agama, tetapi liberalis tidak melihat itu sebagai isu agama.

Perbezaan antara muslim dan liberalis adalah perbezaan pada asas dan dasar, bukan ranting. Seseorang muslim itu muslim, liberalis itu liberalis. Muslim liberalis adalah satu kecelaruan.

Jadi, apabila seorang muslim itu mendakwa dirinya muslim tetapi dalam masa yang sama memperjuangkan fahaman hidup liberal, maka persoalan pertama yang perlu dijawab sebelum berhujah dengannya ialah apakah definisi agama pada iktikadnya.

Atau adakah dia berperangai begitu kerana mahu memenangi hati (undi) puak kafir dan liberal dalam keadaan mahu kekal sebagai muslim? Jika begitu, kita sudah masuk kepada persoalan atau topik nifaq pula. Panjang pula ceritanya itu.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

Sumber: ustazhazizi.wordpress.com

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts