Nakbah: Pengajaran untuk Malaysia

10320306_298863146945013_7805127037421908802_n

 

Nakbah dalam kata yang lebih mudah difahami adalah merupakan hari malapetaka buat umat Islam, manakala orang Yahudi menganggap ini adalah hari kemerdekaan buat mereka. Mengapa? Kerana pada tahun 1948, kita kehilangan tanah Palestin dan digantikan dengan Negara Israel, didaftarkan secara haram lalu dipetakan secara rasmi.

Sebuah fakta yang menarik tentang kependudukan Yahudi di tanah Palestin ialah, pada tahun 1170, hanya terdapat 8 orang Yahudi di tanah Palestin selepas pemerintahan tentera Salib. Selepas peristiwa Nakbah, bilangan bangsa Yahudi pada tahun 1994 telah bertambah menjadi 434,380 orang iaitu mewakili 74% dari jumlah keseluruhan penduduk Palestin!

Rentetan berdarah kehilangan Palestin

Kehilangan Palestin dari peta Islam hakikatnya adalah bukti malapetaka, kerana ia adalah rentetan dari peristiwa kejatuhan Khilafah pada 1924. Bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam bermula apabila Barat berjaya meniup angin perkauman antara bangsa Arab dan bangsa Turki melalui Gabenor Mekah pada ketika itu, As-Syarif Husain. Barat menghasut bangsa Arab dengan mengatakan bahawa pemerintahan Khilafah sepatutnya kembali di tangan bangsa Arab kerana Islam itu telah diturunkan pada bangsa Arab, lantas Barat dan Yahudi telah mengambil kesempatan dengan menggunakan kekuatan bangsa Arab untuk menjatuhkan pemerintahan Khilafah.

Janji manis Barat telah mengaburi bangsa Arab. Jika bangsa Arab berjaya menjatuhkan kerajaan Turki, maka takhta pemerintahan akan menjadi milik mereka. Namun sayangnya persepakatan itu telah dibuat dalam keadaan tiada sebarang perjanjian bertulis, melainkan perjanjian lisan. Serampang dua mata, di sebalik janji kosong mereka kepada bangsa Arab tersebut, Barat dan Yahudi terus membuat perjanjian-perjanjian sulit di belakang umat Islam iaitu memberi jaminan kepada Yahudi bahawa Palestin itu akhirnya diserahkan kepada mereka.

Apabila tiba-tiba Palestin jatuh ke tangan Yahudi, umat Islam terpinga-pinga kerana tidak dapat menerima hakikat pahit yang telah berlaku. Umat Islam telah mengalami kerugian yang dahsyat pada ketika itu :

1) Tiada penaung umat Islam lagi setelah kejatuhan Khilafah
2) Kehilangan tanah Palestin tanpa sebarang bayaran

Umat Islam ketika itu bukan tidak bangkit untuk mendapatkan semula tanah berharga Palestin, tetapi tentera Islam ketika itu sedang berada dalam keadaan yang tidak bersedia dari segi jumlah tentera dan kelengkapan peperangan.

Pengajaran yang perlu diambil berat oleh umat Islam di Malaysia sekarang adalah :

1) Perpecahan umat Islam itu tidak akan membawa kepada sebarang keuntungan. Kerja-kerja penyatuan matlamat umat Islam perlu dilaksanakan walaupun kelihatan sukar.
2) Orang kuffar, dalam agenda menjatuhkan Islam, mereka masih mampu bersatu walaupun dengan cara kerja yang berbeza.

Orang Melayu kehilangan tanah? Ini paranoid!

Ingin saya coretkan sejarah hitam yang telah berlaku di tanah Bosnia. Selepas kejatuhan kerajaan Komunis Soviet Union, Tembok Berlin hancur dan Persekutuan Yugoslavia berpecah kepada negara-negara kecil, antaranya adalah Serbia yang didiami oleh Kristian Orthodoks, Bosnia Herzegovina yang menempatkan orang Islam, dan Croatia yang didiami oleh Kristian Katolik.

Dengan kepimpinan Ali Izzat Betgovich, Presiden Bosnia ketika itu yang mempunyai kefahaman Islam, telah memimpin penduduk Bosnia seramai 6 juta orang, menjadikan tanah mereka sebagai komuniti Islam terbesar di tengah-tengah benua Eropah. Keislaman fikrah Ali Izzat dapat dilihat melalui tulisannya ‘Islam Between East & West’. Dengan pencapaian hebat ini, Bosnia berpotensi untuk menjadi negara Islam contoh, bukan sahaja kepada dunia Islam, tetapi kepada dunia Eropah dan dunia keseluruhannya.

Namun kuffar tidak senang akan situasi ini, lantas mereka mula menyusun agenda-agenda jahat untuk menghancurkan Bosnia. Barat bersama sekutu keji mereka yang merupakan negara jiran Bosnia, iaitu Serbia, telah melakukan kepungan dan melakukan pembunuhan ribuan nyawa yang tidak berdosa dan mengusir jutaan lain ke pelusuk negara Eropah. Peristiwa ini hakikatnya berlaku di benua Eropah yang dikatakan telah mencapai tahap kemodenan di abad yang ke-20! Sehingga kini kerajaan Islam di Bosnia tidak mampu bangkit semula setelah diranapkan oleh Barat dan tentera Serbia.

Jadi, jangan pernah rasa senang dengan posisi yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia kini kerana musuh tidak akan pernah berhenti merancang. Hakikatnya kesan perancangan mereka dapat dilihat melalui asakan demi asakan yang diterima oleh umat Islam di Malaysia.

Apologetik yang memakan diri

Rata-rata saya lihat orang kini malu untuk menggunakan Al-Quran sebagai pemberi kata muktamad dalam sesuatu isu, dan sebolehnya sekadar menggunakan akal fikiran dalam memberi justifikasi. Kita selaku umat Islam perlu sedar bahawa akal tidak akan pernah tinggi daripada wahyu. Bila akal-akal manusia gagal memberikan jalan, maka kita perlu kembali pada wahyu sebagai solusi, malah sepatutnya wahyu itu sendiri perlu memandu cara manusia berfikir.

Menggunakan istilah kafir untuk merujuk kepada bukan Islam – itu pun kita ketakutan, itu pun bimbang orang bukan Islam terasa. Tidakkah kita lupa hakikatnya Allah memang menggunakan perkataan ‘kafir’ di dalam Al-Quran merujuk kepada orang bukan Islam?

Bumi ini selamanya milik orang Islam. Bumi ini, segala isinya telah diciptakan oleh Allah maka selayaknya diwariskan hanya kepada mereka yang mentaati Allah.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” – (Surah An-Nur : 55)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab- kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih” – (Surah Al-Anbiya : 105)

Ayat yang sering digunakan untuk memberikan justifikasi terhadap sikap apologetik diri sendiri :

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” – (Surah Al-Anbiya’ : 107)

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” (Surah An-Nahl : 125)

Seolah-olah Islam hanya berkisar mengenai ayat ini sehingga melupakan ayat yang lebih keras terhadap orang kafir seperti ayat :

¨Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya)”- (Surah At-Taubah :123)

Berdakwah dengan berhikmah bukanlah bermaksud kita masih perlu berlapang dada, bersopan tutur kata walaupun kita sedang berhadapan dengan kafir yang tidak henti menyatakan ancaman terhadap Islam.

Memahami erti hikmah dengan analogi yang mudah adalah : cara mendidik anak murid yang nakal, sentiasa melompat ke sana sini, jarang buat kerja sekolah tidak sama dengan cara mendidik anak murid yang berdispilin, mudah mendengar nasihat guru. Jika cara didikan anak murid yang nakal sama dengan cara dididikan anak murid yang berdisiplin maka porak perandalah sekolah. Ini maksud hikmah dengan cara yang paling mudah difahami.

“Bertindak keras supaya mereka sedar, sesiapa yang berkasihan belas sekali sekala hendaklah berkeras ke atas mereka yang tidak berkasihan belas.”
(Syair Arab)

Perkara yang ingin saya tekankan adalah, keras dan berlemah lembut itu perlu kena pada masa dan tempatnya.

‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ satu solusi?

Untuk memperkuat Islam di Malaysia, tidak dapat tidak, umat Melayu yang majoritinya beragama Islam, perlu mempunyai kesatuan fikiran dalam menjamin hala tuju Islam. Menggunakan kekuatan bangsa untuk mempertahankan agama Islam tanpa menindas bangsa lain bukanlah assobiyah (perkauman) yang dilarang.

Daripada Waathilah bin Al-Asqa’ :
Aku telah bertanya : Wahai Rasulullah, apakah dia assobiyah (perkauman)? Baginda menjawab : Apabila engkau membantu kaummu atas kezaliman.
[ HR Abu Daud ] Dihukum hasan oleh Ibn Mufleh Al-Maqdisi dalam Al-Adab As-Syar’iah.

Orang Islam di Malaysia perlu bijak membezakan antara toleransi dan sifat apologetik yang melebihi dos. Jangan pernah lupa, penguasaan Yahudi ke atas tanah Palestin hingga kini hanya bermula dengan 8 orang Yahudi.

Malaysia menuju Nakbah? Dengan perancangan yang teliti, tiada apa yang mustahil.

Nurul Fauwiza Mohd Fauzi
Tahun 6 Perubatan, Jordan University of Science and Technology (JUST)
Ahli Unit Kajian Palestin dan Timur Tengah QUDS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts