OKU bukan penghalang untuk menguasai Al-Quran

Kota Bharu: Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan bukan penghalang bagi Raja Noor Hani Raja Dollah, 26, untuk menguasai bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille.

Raja Noor Hani berkata, dia kini sedang mendalami bacaan al-Quran sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) pada Disember tahun ini.

Katanya, dia mula diperkenalkan dengan muqaddam Braille ketika berusia sembilan tahun dan mengambil masa selama dua bulan untuk belajar kod dan mengingati titik Braille yang agak mencabar.

“Walaupun perlu bekerja keras untuk mempelajari al-Quran berbanding individu normal, ia tidak mematahkan semangat saya untuk mendalami kalam suci ini.

“Jangan jadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak mahu membaca al-Quran kerana di sisi Allah SWT, setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Kacang di sini, kelmarin.

Anak kesembilan daripada 10 beradik ini berkata, ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, dia diajar membaca al-Quran braille dan mula memupuk kesungguhan untuk menguasai bacaan sehingga mendalami kalam suci itu.

“Saya pernah menangis kerana pada awalnya terlalu sukar disebabkan setiap baris ayat perlu dirasai dengan jari, tetapi berkat sabar akhirnya saya mampu juga menguasainya.

“Kini seminggu sekali, saya akan menyertai kelas membaca al-Quran di Pertis Beris Kubu Besar, Bachok selain turut membantu rakan-rakan yang senasib,” katanya.

Bercerita mengenai masalah penglihatan yang dialami, Raja Noor Hani berkata, dia dilahirkan tanpa pancaindera berkenaan.

“Saya berazam mahu mendidik lebih ramai golongan senasib mendalami al-Quran kerana sebagai orang Islam, kitab suci ini menjadi pedoman hidup,” katanya.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts