Palestin meratap pembunuhan ketua unit al-Qassam, Ahmad Jarrar

 

TEBING BARAT – Bukan sekadar puluhan anggota tentera lengkap bersenjata api dan jentolak digunakan untuk memaksa seorang pejuang Palestin menyerah diri, rejim pengganas Israel sebaliknya, terpaksa menembak peluru berpandu bagi meletupkan sebuah bangunan yang menjadi tempat persembunyiannya.

Akhirnya, Ahmad Nasser Jarrar, yang disifatkan oleh sayap bersenjata Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – Brigade al-Qassam – sebagai ‘ketua unit al-Qassam yang melakukan serangan berani di Nablus beberapa minggu lalu’, tumpas ditangan askar rejim pengganas Zionis.

Selepas memburunya hampir sebulan lalu, Ahmad Jarrar yang berusia dalam lingkungan 20-an, ditembak mati di al-Yamoun, di Jenin, bandar di utara wilayah Tebing Barat yang diceroboh, hari ini.

Sejak seorang pendatang Israel ditembak mati ketika memandu di Nablus, bulan lalu, rejim pengganas Zionis melancarkan operasi besar-besaran memburu Ahmad Jarrar, yang dituduh sebagai suspek utama kejadian itu, dan berjaya menyembunyikan diri sejak beberapa minggu lalu.

Bulan lalu, ketika serbuan mencari Ahmad Jarrar di Wadi Burqin, di kejiranan Jenin, askar rejim pengganas Israel menembak mati sepupunya, Ahmad Ismail Jarrar, tidak jauh dari rumahnya.

Sabtu lalu, askar rejim terbabit turut membunuh seorang pemuda Palestin, Ahmed Samir Abu Obeid, 19, tahun ketika serbuan di Wadi Burqin.

Gabenor Jenin, Ibrahim Ramadan dalam satu kenyataan berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai perhubungan Palestin mengenai pembunuhan Ahmad Jarrar, hari ini, dan mayatnya ditahan oleh pihak berkuasa rejim pengganas Israel.

Katanya, askar rejim melancarkan operasi besar-besaran di Jenin bermula jam 12 tengah malam membabitkan tiga kampung dan berakhir di al-Yamoun, selepas menerima maklumat risikan bahawa Ahmad Jarrar berada di dalam sebuah bangunan di situ.

“Beberapa ahli keluarganya dibenar masuk ke tempat beliau ditembak mati dan membawa pulang pakaiannya yang dipenuhi darah serta senaskhah kecil al-Quran yang diberi ibunya, yang dijumpai dalam bangunan itu,” katanya.

Media melaporkan askar rejim pengganas Israel mengarahkan Ahmad Jarrar menyerah diri, tetapi beliau enggan berbuat demikian. Tindakan ketenteraan dilakukan, termasuk menembak peluru berpandu ke arah bangunan itu dan menggunakan jentolak untuk meruntuhkannya.

Askar rejim pengganas mendakwa Ahmad Jarrar keluar daripada persembunyian dengan bersenjatakan raifal M-16 dan beg dipenuhi bahan letupan, sebelum ditembak mati.

Askar rejim itu juga dikatakan menangkap beberapa pemuda Palestin yang didakwa membantu Ahmad Jarrar bersembunyi. Berikutan kejadian itu, puluhan pemuda Palestin keluar ke jalan raya dan bertempur dengan askar rejim.

Ucapan takziah kepada keluarga Ahmad Jarrar berkumandang menerusi pembesar suara masjid di bandar Jenin, sementara sekolah dan kedai ditutup sebagai tanda berkabung atas kematian pejuang itu.

 

 

Pergerakan Jihad Islam dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Jarrar mewakili jiwa penentangan sebenar yang dimiliki rakyat Palestin dan kemenangan Ahmad Jarrar hanya akan tercapai dengan pengusiran rejim itu.

Brigade al-Qassam, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ahmad Jarrar dan menyifatkannya sebagai ‘ketua unit al-Qassam yang melakukan serangan berani di Nablus beberapa minggu lalu’.

Hamas dalam satu kenyataan menyeru kumpulan pejuang di Tebing Barat menunjukkan penentangan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ahmad Jarrar oleh rejim pengganas Israel.

Ahmad Jarrar menjadi rakyat Palestin ke sepuluh dibunuh rejim pengganas Israel tahun ini. Beliau adalah anak kepada Nasser Jarrar, seorang pejuang Hamas, yang dibunuh oleh rejim Zionis ketika Intifada Kedua pada 2002. – Ismaweb

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts