Pandangan saya soal arak konsisten, tak kompromi: Menteri Agama

 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan pandangan beliau mengenai arak adalah konsisten tanpa sebarang kompromi bahawa ia haram di sisi Islam.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu meminta supaya semua orang faham pendiriannya sejak dari awal mengenai apa sahaja berkaitan arak, beliau tetap dengan tegas menolak barang terlarang itu.

“Anda boleh merujuk penulisan saya berkenaan arak ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Teguran dan nasihat saya adalah tulus ikhlas dari hati dan bukan memilih.

“Arak atau minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam Islam, malah ia digambarkan dengan keburukan dan bahaya dalam agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh dan lain-lain.

“Apalah erti kehidupan kita jika masing-masing tidak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama?

“Tragedi kemalangan jalan raya akibat mabuk bukanlah asing dalam dada akhbar di Malaysia. Ia akan kekal menjadi igauan ngeri rakyat Malaysia jika hal ini tidak diteliti dengan baik,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Mengulas surat daripada sebuah kementerian yang memberi kelulusan pengoperasian kilang arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zulkifli berharap ia tidak lagi berlaku.

Ditanya mengapa beliau tidak mengulas hal itu, beliau menegaskan bahawa tidak selesa untuk menjawab bagi kementerian lain.

Beliau juga tidak tergesa-gesa untuk terlalu melayan soalan berbaur kontroversi yang sekadar bermatlamat mahu melaga-lagakannya dengan pihak lain.

 

 

“Saya juga amat tidak selesa untuk menjawab bagi pihak kementerian lain. Boleh jadi jawapan saya tepat atau salah. Malah, saya juga tidak mengetahui adakah apa yang saya fahami, benar-benar seperti yang dikatakan orang atau sebaliknya.

“Soalan yang berbaur kontroversi atau bertujuan melaga-lagakan saya dengan sesiapa sahaja, itulah yang terutamanya saya elakkan.

“Ini kerana, kalau saya tergesa-gesa menjawabnya, boleh jadi ia menjatuhkan maruahnya. Inilah antara pesan guru saya Syeikh Al-Allamah Dr Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti,” katanya.

Adalah lebih baik, beliau mengambil kecaknaan sebarang bentuk nasihat dan cadangan dari semua pihak terutamanya daripada mufti, cendekiawan Islam dan sesiapa sahaja.

Dengan nasihat itu, beliau akan semat pada hati sanubari dan cuba sedaya mungkin mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikannya.

“Saya doakan semoga kita semua saling nasihat menasihati sesama kita. Saya juga sedia mendengarnya mengikut kapasiti dan kemampuan yang saya ada dalam melaksanakan amanah yang cukup besar ini, ” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts