Pecutan ibadah penghujung Ramadan

 

TIDAK ada jalan lain untuk menggapai keharmonian dalam kehidupan selain mentaati perintah Allah SWT. Orang yang taat perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada segala perbuatan mungkar akan dapat mencapai kebahagiaan hakiki dan mendapat kecintaan Nabi Muhammad SAW.

Memulakan rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menceritakan mengenai sahabat bernama Rabiah yang bersendirian dengan Rasulullah SAW dan Baginda berkata kepadanya, pohonlah apa yang kamu mahukan.

Lalu Rabiah berkata, “Aku hanya minta untuk menjadi temanmu di syurga Allah SWT. Lalu Baginda menjawab: Bantulah aku untuk mencapai keinginanmu dengan cara perbanyakkan sujud kepada Allah SWT.”

Mesej yang ingin disampaikan kepada kita ialah memperbanyakkan solat kepada Allah SWT khususnya pada penghujung Ramadan seperti ditunjukkan Rasulullah SWT yang menghabiskan sebahagian waktu di masjid.

Sesungguhnya pada 10 hari terakhir Ramadan ini, kita hendaklah lebih serius melakukan amal ibadah kepada Allah SWT kerana dikatakan waktu terbaik menyemak sejauh mana amalan dan kedudukan nafsu kita dalam melaksanakan amal ibadah.

Bagi mereka yang telah melakukan pecutan amal pada fasa terakhir Ramadan ini, teruskan dengan semangat ibadat kerana pastinya Allah SWT akan menghadiahkan lailatulqadar kepada mereka yang ikhlas beribadah.

Mereka yang masih lagi ketinggalan menjana hubungan dengan Allah SWT, masjid, al-Quran, masih belum terlambat untuk membuat pecutan ibadah pada penghujung Ramadan ini.

Nafsu terdidik, hati bersih

Menurut alim ulama, mereka yang bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah, pada penghujung Ramadan ini nafsunya telah menjadi kendur.

Tanda nafsu telah jinak dapat dilihat melalui kebersihan hati. Nafsu yang terdidik dapat melahirkan hati yang lembut dan bersinar. Hati yang baik, cantik dan bersih apabila dapat berasa manisnya beribadah kepada Allah SWT.

Hati yang baik terpancar melalui akhlak dan perbuatan indah seperti bersabar, tidak suka mengumpat, sentiasa bersangka baik dan memiliki sifat mahmudah. Hati baik kerana nafsu telah dapat dikawal menyebabkan mudahnya seseorang itu melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Sebenarnya, hikmah besar ibadah puasa antara lain adalah mendidik hawa nafsu. Pakej dalam mendidik nafsu adalah melalui empat perkara iaitu ‘siam’ (menahan), qiam (mendirikan), al-Quran (membaca) dan sedekah (memberi). Empat unsur itu saling berkaitan dalam mendidik hawa nafsu.

Menurut Rasulullah SAW, orang yang terbaik adalah orang yang belajar atau mengajar al-Quran. Kedua-dua golongan itu mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Jarak antara kita dengan ketenangan ditentukan oleh jarak hati dengan al-Quran.

Kehebatan al-Quran

Semakin dekat kita dengan al-Quran semakin harmoni dan tenang hati. Semakin jauh kita dengan al-Quran semakin gusar dan gelisahlah hati. Jika kita sibuk membaca, mentadabur al-Quran hingga tidak punya waktu untuk berdoa, nescaya Allah SWT tidak akan lupa memakbulkan permintaan atau doa kita.

Hebatnya al-Quran kerana memiliki kekuatan memakbulkan hajat yang sekian banyak. Membaca ayat al-Quran seperti senjata yang akan melaksanakan hajat kita.

Al-Quran bukan seperti buku teks pelajaran, sungguhpun kita membaca tanpa memahami isi kandungannya, tetapi keberkatan dan kemukjizatan al-Quran akan memberi barakah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Apatah lagi jika membaca dengan kefahaman terhadap inti pati isi al-Quran memberi nilai kepada kehidupan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/node/295460

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts