Pelajar sekolah vernakular wajib fasih BM – Sultan Nazrin

 

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sekolah vernakular harus memastikan setiap pelajarnya berupaya menguasai bahasa kebangsaan dengan tahap kefasihan setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

Baginda bertitah, sekolah vernakular wajib menunjukkan komitmen kepada kerajaan dan rakyat di negara ini, bersedia mengambil tanggungjawab itu kerana bahasa kebangsaan adalah identiti kepada sesebuah negara bangsa.

“Adalah janggal dan ironis, jika ada seseorang yang bertaraf warga negara Malaysia, dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seorang warga negara, tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca di dalam bahasa kebangsaan negaranya.

“Usaha untuk memfasihkan setiap pelajar di sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan, hendaklah diterima sebagai satu cabaran dan pencapaian pelajar menguasai bahasa kebangsaan dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian sekolah,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet 2017 di sini hari ini.

 

 

Sultan Nazrin bertitah, kejayaan sekolah vernakular menjadikan anak didik mereka fasih menguasai bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu.

Titah baginda, pada masa sama ia dapat turut meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini terhadap sekolah vernakular.

Turut berkenan hadir pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Kampung Baru, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts