KOTA BHARU – Pelancong luar negara tiada masalah dengan kakitangan hotel yang memakai tudung, malah terpegun dengan keunikannya, kata Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Wan Fauziah Wan Mamat.
Beliau berkata, ada pelancong dari Perancis datang ke Hotel dan Apartmen Khalifa Suites pada awal tahun ini turut belajar mengikat skarf daripada kakitangan di situ sebagai tanda hormat terhadap pakaian wanita Islam di sini.
Perkara itu, katanya, membuktikan bahawa pemakaian tudung oleh pekerja hotel mampu menarik perhatian pelancong asing, bahkan ada dalam kalangan mereka yang sedia memakainya sebaik sahaja tiba di negeri ini.
“Sesuai dengan tuntutan syariah dengan gelaran ‘Serambi Makkah’ di Kelantan, tidak timbul masalah bertudung, malah kita yakin, pengusaha hotel bajet bukan Islam juga sporting memberi kebenaran pekerja Islam mengenakan tudung semasa bertugas,” katanya.
Memetik laporan Sinar Harian hari ini, beliau yang juga Pengurus Besar Hotel dan Apartmen Khalifa Suites, juga Hotel Butik Aslah, menegaskan, pemakaian tudung langsung tidak menjejaskan imej perkhidmatan di hotelnya.
Sebaliknya, ia menjadi tarikan utama pelancong untuk datang ke Kelantan, sekali gus ke Malaysia kerana tindakan berkenaan nampak lebih Islamik dan praktikal.
“Pelancong asing ini mengatakan, dengan turut sama memakai tudung semasa berjalan-jalan di bandar Kota Bharu, ia dapat mengelak kepala dari cuaca panas, malah ada di antara mereka menyediakan tudung di dalam beg tangan.
“Staf yang tidak pakai tudung di hotel di Kelantan rasanya sudah tiada, berbanding pada zaman dahulu, pekerja sekarang bijak menggayakan personaliti bertudung, malah mereka nampak lebih elegan dan berkeyakinan,” katanya.
Tidak hanya itu, katanya, sejak 11 tahun Hotel dan Apartment Khalifa Suites memulakan perkhidmatan, pihak pengusaha hotel tidak melarang sebaliknya menggalakkan pekerja berhijab.
“Biasanya semasa menemu duga calon pekerja, kami menasihatkan bakal pekerja yang datang tidak bertudung dan bersopan supaya mengenakan tudung bagi memberi imej positif kepada syarikat,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, semua pengusaha hotel bajet di negeri ini perlu faham dan menghormati pendirian pekerja yang mahu bertudung ketika bekerja di syarikat berkenaan. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my