Murung bukan tanda lemah iman

 

 

Berbicara tentang manusia dan perasaan, walaupun kita sendiri manusia, kita ini belum tentu mampu memahami setiap situasi insan dengan begitu baik dan tuntas. Seringkali kita juga gagal memanusiakan sikap kita terhadap manusia. Manusia adalah suatu makhluk yang begitu unik. Ia ada perasaan dan akal. Ada aspek spiritual yang perlu dibelai dengan kualiti iman dan Islam, selain fizikal yang menjadi amanah untuk menjaga sebaiknya.

Sebab itulah kita gagal memahami manusia lain, kerana begitu banyak aspek yang bergabung dalam membentuk insan mahupun yang baik atau jahat. Seringkali kita terlupa, setiap individu mempunyai tahap toleransi dan kesabaran yang sangat berbeza ketika menghadapi suatu situasi.

Bukan ingin menuding jari atas suatu perbuatan yang salah, Cuma ingin memandu tingkah supaya mereka mampu pantas bingkas. Sepatutnya kita sedar bahawa bukan mudah untuk bermujahadah, tetapi setiap kali berhadapan dengan pelbagai masalah, kita sebagai manusia seharusnya lebih berpaut erat dengan tali Allah kerana mereka yang tetap pendiriannya tidak akan takut dan tidak akan berdukacita. Oleh itu marilah kita sama-sama mengkaji punca murung dan penawarnya.

Murung sendiri ada banyak jenis, tetapi hanya ada dua jenis yang kerap dialami oleh rakyat Malaysia sendiri iaitu, ‘Situational Depression’ dan ‘Clinical Depression’. ‘Situational Depression’ ini adalah kesedihan yang bersifat sementara. Ini merupakan stress yang biasa dalam kehidupan kita. ‘Clinical Depression’ pula merupakan stress yang memberi kesan sehingga mengganggu rutin harian seseorang. Ramai yang mempunyai pelbagai pendapat yang berbeza mengenai kemurungan.

Hal ini kerana, setiap pihak yang berpendapat mempunyai pengalaman hidup dan dapatan kajian yang berbeza. Lantas ia membentuk pandangan peribadi yang berbeza dengan individu lain.

Terdapat beberapa punca kemurungan yang berlaku di kalangan rakyat dan salah satunya ialah situasi memaksa. Murung bukan disebabkan lemah iman semata-mata, namun iman dan agamalah yang menjadi asbab kita berdaya tahan dan mampu berdepan dengan pelbagai tekanan yang lain.

Ibarat memandu kereta, walaupun kita pemandu yang cekap, kita sebagai orang Islam seharusnya bergantung kepada Allah disertakan dengan doa, kerana kita sendiri tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada kita nanti, sama ada kita ditimpa kemalangan ataupun ditimpa musibah lain yang menghalang kita untuk sampai destinasi yang hendak dituju. Hidup ini tidak sentiasa indah.

Ada saja masalah yang akan datang untuk menguji keimanan kita dan Allah ingin menguji kita bukan suka-suka sahaja, bahkan Dia ingin lihat seteguh manakah keimanan kita ketika ditimpa musibah. Kadangkala cuaca pun dicelah musibah. Ada pula babak sampingan yang kita tidak mahu singgah dalam diari kehidupan. Walaupun kita tidak mahu, namun ia tetap hadir bila-bila masa.

Ketika berhadapan dengan pelbagai karenah manusia di situasi yang menjengkelkan, kita jadi stress. Ada saja sesuatu yang bakal terjadi sehingga mengubah senyuman kepada tangisan. Stress yang bertimpa-timpa itulah yang membuat kita murung, bahkan individu yang tidak mampu bertahan, akhirnya boleh membawa kepada masalah mental yang kronik.

Selain itu, mengikut kajian, kita mempunyai 2-4 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit mental jika ibubapa atau adik-beradik mempunyai penyakit yang sama. Pendek cerita, faktor genetik pun boleh mempengaruhi. Dari segi aspek neurobiologi, kemurungan dikaitkan dengan rendahnya paras monoamine neurotransmitter di dalam otak seperti noradrenaline, dopamine dan serotonin.

Ketidakstabilan neurotransmitter ini boleh dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang menakutkan. Namun, menyalahkan iman sebagai sumber kemurungan merupakan suatu tuduhan yang subjektif. Ya, kita sendiri tahu iman ini ada pasang dan surutnya, persoalannya, adilkah kita untuk mengaitkan iman dan kemurungan? Agak sukar untuk mengukur keimanan seseorang kerana ada individu yang sudah melaksanakan ibadah tanpa culas namun kurang ikhlas. Golongan kanak-kanak pun sudah mengalami kemurungan sedangkan mereka belum pun ditaklifkan untuk beriman sepenuh hati.

Lagipun, masih terdapat punca lain dari segi psikologi, neurobiologi dan genetik yang menjadi asbab kemurungan. Oleh itu, kita sebagai umat Islam tidak seharusnya menuduh lemah iman punca kemurungan seseorang.

Agama bukan sahaja cara hidup, bahkan solusi bagi banyak masalah dan konflik yang dihadapi oleh manusia. Kemurungan boleh dikendur melalui sistem kepercayaan yang kita pegang. Ia adalah akidah dan rukun iman yang kita percaya dengan hati dan diiktiraf dengan lisan dan perbuatan.

Setiap set sistem kepercayaan ini dapat membentuk individu Muslim yang mempunyai corak fikir yang mampu jadi benteng daripada kemurungan yang kronik. Di sini, terdapat beberapa kaedah nadir yang boleh diaplikasikan oleh mereka yang mengalami kemurungan. Yang pertama, kembalilah kepada Alam.

Alam ini sebenarnya sangat indah. Tapi sayangnya, ramai yang tidak mengambil berat akan keindahan alam. Akibat leka dengan gajet dan sosial media, manusia kini menghabiskan masa di dalam bangunan sambil melayan gajet berbanding akrab dengan alam. Apabila semua ini berlaku, kita sebenarnya sedang kehilangan salah satu cara untuk tenang dan mengurangkan kemurungan.

Menghirup udara segar di pagi hari sambil melihat tumbuh-tumbuhan yang menghijau pun sudah cukup menenangkan hati. Pijak tanah, batuan atau rerumput seolah-olah menghadiri sesi urutan refleksologi. Bahkan banyak lagi cara untuk kita berinteraksi dengan alam yang boleh membantu mengurangkan kemurungan Cuma kita sahaja yang mahu atau tidak mahu untuk melakukannya.

Senaman juga salah satu cara yang efektif untuk mereka yang mengalami kemurungan. Badan kita Allah tidak ciptakan untuk jadi patung hiasan kerana badan kita juga ada fungsi dan hak tersendiri. Jadi sebenarnya, badan yang kurang bergerak itulah mampu menimbulkan kemudaratan dari segi fizikal dan mental. Senaman yang berintensiti tinggi membebaskan hormon endorphin iaitu hormon rasa seronok.

Manakala senaman yang biasa-biasa pula boleh menyokong perkembangan sel saraf di hipokampus, seterusnya mengurangkan kemurungan. Hal ini kerana orang kemurungan mempunyai saiz hipokampus yang lebih kecil berbanding dengan manusia yang tidak mempunyai kemurungan. Bahkan, menurut Dr. Michael Craig Miller dari Universiti Harvard, sesetengah individu senaman mempunyai kesan yang sama dengan pil antidepresi.

Di samping itu, jadikan kata-kata ‘Hidup untuk Memberi’ ini slogan kehidupan kita. Mungkin tidak terlintas di fikiran kita untuk menjadikan budaya hidup untuk memberi bagi mengurangkan tekanan dan mengubati kemurungan. Memberi di sini bukan bermaksud memberi wang atau hadiah, tetapi dengan memberikan masa dan tenaga untuk bangkit kembali semangat juang dalam diri.

Sebagai contoh, melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dapat menghidupkan hati yang mati. Hati yang tiada empati boleh berubah menjadi kaya dengan simpati. Bahkan, perkara yang sebelum ini kita anggap kritikal dan sukar, mungkin kini tidak dipandang lagi. Memberi ini boleh jadi perkara yang mudah dan kecil sahaja seperti membuka pintu untuk orang, namun memberi kepuasan dan impak yang besar.

Membantu insan yang memerlukan dapat memudarkan kemurungan yang singgah dalam hidup kita, dan lama kelamaan, simptom-simptom kemurungan akan pudar dan beredar dengan sendirinya.

Akhir sekali, raikanlah setiap kejayaan dan penghargaan yang kecil. Orang-orang yang murung biasanya merasakan dirinya tidak berguna. Diri mereka dibelit dengan kegagalan, dibelenggu dengan rasa bersalah yang tidak berkesudahan dan seolah-olah tiada fungsi untuk meneruskan kehidupan. Salah satu cara untuk menghambat perasaan negatif ini adalah dengan meraikan kemenangan dalam kehidupan.

Kemenangan tersebut tidak perlu dihebohkan kepada khalayak ramai, kerana ianya suatu kemenangan untuk kita sendiri sahaja demi membahagiakan hati kita yang suram ini. Ini yang dipanggil kemenangan peribadi, suatu kejayaan yang tidak semestinya besar dan diiktiraf di mata masyarakat. Tidak perlu fikir jauh, sekadar berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan atau mendapat skor yang baik dalam suatu subjek pun dah cukup memuaskan.

Perasaan ini sepatutnya membuatkan kita berasa lega, segar dan mampu membuat hati menguntum senyum. Kita juga boleh meraikan kejayaan yang nampak kecil tapi cukup menyeronokkan, yang hasilnya dapat dilihat dengan mata kasar, seperti mengemas ruang tamu yang berselerak, menghias bilik tidur dan membersihkan kawasan perumahan supaya persekitaran nampak ceria dan bersih.

Akhir kalam, setiap individu di dunia ini tidak akan pernah terlepas dari sebarang masalah. Cuma cara kita untuk menghadapinya hendaklah berdasarkan pemikiran positif dan pegangan rohani yang kuat agar diri tidak mudah terjerumus dalam kesesatan dan kemurungan. Berpeganglah pada tali Allah dan ikutilah ajaran Rasulullah SAW agar hidup berkat dan seterusnya membawa ketenangan yang hakiki di dunia dan akhirat.

Semoga hidup kita akan jadi lebih baik dari yang sebelum.

Nurul Izzati Binti Samharis merupakan seorang pelajar Tahun 2,
Bioteknologi Makanan di Universiti Sains Islam Malaysia.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts