Fatwa mekanisme penting tangani ajaran sesat

Ajaran sesat bukan hanya melibatkan pemikiran manusia, tetapi ia turut membabitkan emosi seseorang yang membuatkan ia sukar untuk ditangani.

Meskipun demikian, Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badaruddin menyeru agar masyarakat memainkan peranan apabila mempunyai maklumat dan aduan berkaitan fahaman yang dirasakan menyimpang daripada landasan agama.

“Sudah tentulah anggota masyarakat merupakan individu yang terdekat dengan ajaran sesat.

“Disebabkan itulah fahaman terpesong itu timbul dalam kalangan komuniti, bukan melibatkan institusi,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Walaupun berdepan rintangan membanterasnya, Dr Mohd Faudzinaim yang juga anggota Panel Pakar Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, fatwa merupakan mekanisme yang signifikan dalam konteks menangani isu berkenaan.

“Apa sahaja yang dikeluarkan oleh fatwa, masyarakat tetap akan mengikut walaupun ada juga yang membantah dalam bilangan kecil.

“Paling tidak, mereka sedar bahawa (sesuatu) ajaran itu ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, ahli akademik itu berpandangan, sistem pendidikan Islam di Malaysia perlu dinilai semula dengan tidak menitik beratkan soal mendalami ilmu pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira perihal penghayatan dan juga aspek pengamalan.

Walaupun sistem pendidikan Islam sedia ada di negara kita dilihat sistematik, tetapi menurut perspektifnya, berlaku ‘kekejangan’ tanpa disedari.

“(Satu masalahnya) Kita mengajar murid-murid seolah-olah bila dia keluar (sekolah) macam dia tahu (semua) belaka. Itu yang menjadi masalahnya.

“Pada saya, (belajar) agama ini ada peringkat, maka pendidikan itu juga harus berperingkat. Satu lagi, kita kena ingat bahawa ilmu itu suatu perkara, penghayatan dan pengamalan juga satu perkara lain.

“Malah, ia amat penting dalam pendidikan. Jadi jika kita hanya fokus kepada ilmu saja, apabila terlalu banyak, akhirnya pelajar kadangkala ambil mudah dan tidak begitu kisah sangat,” ungkapnya. – Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts