Jangan cemari Aidilfitri dengan pembaziran

Aidilfitri ini menandakan Ramadan bulan pentarbiahan dan pembersihan jiwa umat Islam telah pun berakhir.

Menurut Ibn Rajab al-Hanbaliy dalam Kitab Lata’if al-Ma’arif, pada waktu sebegini para salaf al-soleh (para pendahulu kaum Muslimin daripada kalangan para sahabat Nabi SAW, tabi’in dan tabi’ al-tabi’in) akan sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah SWT agar segala amalan yang mereka telah lakukan di sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT. Di samping itu, mereka juga sentiasa berdoa agar Allah SWT memberikan lagi kesempatan dan peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun berikutnya.

 Sebenarnya, Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam, hasil daripada mujahadah (usaha kuat) mereka selama sebulan melawan hasutan hawa nafsu. Di samping umat Islam bergembira dengan kedatangan Aidilfitri, mereka juga sepatutnya merasa sedih dan sayu dengan pemergiaan Ramadan untuk tahun ini.

Dalam keghairahan umat Islam membuat berbagai-bagai persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggari etika berbelanja sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam. Disebabkan terlalu gembira yang tidak bertapak atas keimanan yang kuat, barangkali membuatkan segelintir umat Islam tidak menyedari bahawa mereka telah melanggar etika murni yang ditetapkan oleh Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.

 Pemborosan ialah mengeluarkan wang atau menggunakan barang-barang secara berlebih-lebihan dengan cara yang membazir. Amalan membazir ini amat dilarang oleh Allah SWT, sehinggakan Allah SWT melabel orang-orang yang membazir itu adalah saudara-mara syaitan. Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra’ ayat 27)

 Pelabelan yang diberikan oleh Allah SWT terhadap orang-orang yang melakukan pembaziran dalam ayat ini amat keras, kerana syaitan itu merupakan makhluk yang paling ingkar terhadap perintah Allah SWT.

 Berhubung larangan pembaziran ini juga, al-Mughirah bin Syu’bah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekah) miliknya, tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Riwayat al-Bukhari)

 Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini, jelas bahawa pemborosan dan pembaziran adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan oleh orang-orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman.

Pemborosan yang seringkali dilakukan ketika membuat persiapan menyambut Aidilfitri adalah dari aspek pakaian. Maksudnya membeli atau menempah pakaian yang berlebih-lebihan. Meskipun ia adalah hak golongan kaya-raya, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

 Walaupun Baginda Nabi SAW menggalakkan kita berpakaian baharu dan cantik pada hari perayaan Aidilfitri, tetapi janganlah sampai terlalu boros sehinggakan membawa kepada pembaziran. Baginda SAW sendiri melarang amalan pembaziran dan tidak pernah melakukan sesuatu perbelanjaan yang melampaui batas.

 Selain pakaian, pemborosan juga berlaku dari aspek pembelian peralatan dan perhiasan rumah seperti langsir dan perabot. Tidak salah jika kita ingin menjadikan Aidilfitri masa untuk menukar peralatan dan perhiasan rumah, tetapi tidak perlulah dilakukan apabila setiap kali Aidilfitri, kerana Aidilfitri adalah masa untuk mengeratkan silaturahim. Paling penting adalah layanan mesra sewaktu menerima kunjungan tetamu.

 Dalam pada itu, pemborosan juga berlaku dari aspek ingin menceriakan perasaan anak-anak. Ada segelintir ibu bapa yang melaburkan wang ringgit semata-mata untuk membeli mercun atau bunga api demi menggembirakan anak-anak pada malam Aidilfitri. Selain aspek pembaziran, bermain mercun juga boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan kepada tubuh badan anak-anak.

 Kita perlu sedar bahawa Ramadan yang telah dilalui itu banyak mendidik kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan yang diterima sepanjang Ramadan ini, kita perlu berusaha untuk memanfaatkannya bagi mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang.

 Sebenarnya harta kekayaan adalah antara nikmat kurniaan Allah SWT kepada seseorang. Secara tidak langsung, Allah SWT juga menjadikan kekayaan itu sebagai ujian bagi hamba-Nya. Oleh itu, kita seharusnya membelanjakan harta kekayaan dengan baik tanpa dicemari dengan unsur pemborosan yang membawa kepada pembaziran.

 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak (terlalu) berlebih-lebihan dan tidak (pula terlalu) bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil).” (Surah al-Furqan ayat 67)

 Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan al-Quran dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah SWT harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang.” (Riwayat al-Bukhari)

 Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini, Islam sama sekali tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi Islam hanya mengajar umatnya tata cara berbelanja dengan betul, iaitu berbelanja secara sederhana dan tidak boros. Ketika berbelanja menyambut Aidilfitri, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama, yang menyambut Aidilfitri dalam serba kedaifan dan kekurangan. Mereka juga inginkan kegembiraan seperti orang lain.

Oleh itu, alangkah baiknya jika kita meninggalkan amalan pemborosan yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan merasakan kita sentiasa mengingati mereka. Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar perayaan Aidilfitri, seterusnya melahirkan sebuah masyarakat penyayang dan berwawasan.

 Berhubung perkara ini, Allah SWT menjelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanja-belanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’ ayat 26)

 Dalam ayat ini, Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan amat melarang amalan berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah sama-sama kita meninggalkan amalan yang keji dan mengamalkan sesuatu yang baik lagi terpuji di sisi Allah SWT.

Penulis Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts