Hayati semangat hijrah, terjemah secara syumul dalam kehidupan – Sultan Kedah 

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam khususnya di negeri ini supaya sentiasa menghayati semangat hijrah dan menterjemahkannya secara syumul dalam menjalani kehidupan masing-masing.

Titah baginda, ketika ini ramai dalam kalangan umat Islam seolah-olah masih tidak memahami definisi hijrah secara keseluruhan dan membiarkannya kekal dengan tafsiran terhad, tanpa mahu melihat hikmah hijrah dari dimensi berbeza.

Baginda bertitah, sekiranya konsep hijrah itu difahami secara tersurat dan tersirat, umat Islam tentunya lebih menghargai masa untuk melakukan perubahan dan penghijrahan dalam diri masing-masing.

“Sebagai umat Islam, perubahan ke arah lebih baik tidak memerlukan kita menunggu waktu tertentu. Sebaliknya perkara itu boleh dilakukan pada setiap masa.

“Nabi Muhammad dan para sahabat bersusah payah mengalirkan keringat, berkorban harta dan jiwa serta menahan segala tohmahan demi kebaikan umat. Maka kita yang berada dalam keadaan selesa ini, hendaklah berhijrah atas nama kebaikan,” titah baginda secara dalam talian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel di sini.

Seiring dengan tema sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, Sultan Sallehuddin turut menasihatkan seluruh umat Islam agar memberi keutamaan dan perhatian khusus kepada aspek pembinaan keluarga.

Titah baginda, keluarga yang penyayang dan harmoni amat berkait rapat dengan keredaan dan keberkatan dikurniakan Allah. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts