Siasat NGO bukan Islam cabar pengajaran Hadis 40

TAIPING – Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (Permata Al-Quran) dan Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Perak (Pematap) menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan pengajaran Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Islam oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Presiden Permata Al-Quran, Manolito Mohd Dahlan berkata, tindakan beberapa NGO bukan Islam yang mencabar pengajaran Hadis 40 itu disifatkan keterlaluan dan bersifat provokasi sekaligus mengundang ketidakharmonian hidup masyarakat di negara ini.

Menurutnya, tindakan itu merupakan satu bentuk campur tangan orang bukan Islam terhadap urusan agama lslam, malah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam apabila sewenang-wenangnya mentafsir serta menuduh hadis-hadis tertentu sebagai tidak layak menjadi sukatan pendidikan Islam.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh NGO bukan Islam itu juga jelas satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana boleh menimbulkan konflik kaum dan agama serta mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan ini juga termasuk di dalam kesalahan menyentuh isu berkaitan 3R iaitu agama, bangsa dan institusi raja yang telah diberikan amaran oleh kerajaan untuk tidak diapi-apikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Pematap, Datuk Mohd Azlan Shuhaimi berkata, Permata Al-Quran dan Pematap sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping berhubung perkara tersebut agar siasatan dapat dibuat.

Jelasnya, amat wajar untuk pihak berkuasa bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi dan berbaur hasutan dengan menidakkan kesucian hadis yang menjadi sumber panduan kehidupan umat Islam.

Menurutnya, kebiadaban itu tidak boleh dibiarkan apatah lagi kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan jelas termaktub dalam perlembagaan negara.

Sehubungan itu, pihak Permata Al-Quran dan Pematap juga memohon agar pihak Kementerian Pendidikan tidak tunduk kepada desakan dan campur tangan pihak tersebut.

Sebelum ini beberapa portal melaporkan dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM telah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.

Modul itu membolehkan guru dan pelajar mendapat penghayatan khususnya untuk memastikan nilai pesanan dan perkara baik dalam hadis dibaca dan dihayati. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts