Berhati-hati dengan Asy-Syuhrah (kemahsyuran)

Being_famous

 

Telah makruf dari sirah golongan salaf dan ulama terkemudian yang mengikut jalan salaf, bahawa sebahagian mereka sangat bencikan ‘asy-syuhrah’ (kemasyhuran/populariti).

Ibnu Mas’ud pernah menghalau orang yang berjalan mengiringi beliau kerana takutkan fitnah dan ujian kemasyhuran.

Ayyub as-Sakhtiyani sentiasa mengelak daripada melalui jalan yang biasa menjadi laluan awam kerana bimbang dikenali dan disapa orang ramai.

Diriwayatkan juga bahawa Ayyub as-Sakhtiyani solat qiam sepanjang malam. Tetapi ketika telah hampir waktu subuh beliau akan kembali berbaring di tempat tidur. Apabila tiba waktu subuh beliau akan mengeraskan suara seolah-olah baru bangun tidur. Hal ini dilakukan untuk menyembunyikan amalan qiam beliau.

Seperti kisah Ibnu Mas’ud tadi, Sulaiman bin Mihran al-A’masy juga benci dikerumuni dan diiringi perjalanannya oleh penuntut ilmu.

Waki’ bin al-Jarrah, murid kepada al-A’masy. Beliau memandang sinis kepada ilmuwan yang memegang jawatan, termasuk ayahnya sendiri yang menjadi Gabenor Baitul Mal di Kufah! Walaupun ayahnya adalah seorang tokoh yang faqih.

Muhammad bin A’yun berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang menyembunyikan kebaikan-kebaikannya lebih daripada Abdullah bin al-Mubarak.”

Imam Ahmad bin Hanbal bencikan pujian di tengah khalayak. Beliau pernah dilihat sedang bersedih kerana ada orang yang memuji beliau. Diriwayatkan beliau pernah menasihati seseorang, “Jadilah engkau orang yang tidak dikenali, kerana sungguh aku benar-benar telah diuji dengan kemasyhuran.”

Imam Abu Daud as-Sijistani, pengarang kitab sunan, mengkritik anaknya sendiri yang dilihat mengejar-ngejar jawatan.

Imam an-Nawawi pernah berkata, “Aku tidak redha mereka yang menggelar aku dengan Muhyiddin (yang menghidupkan agama).”

——————————

Kisah-kisah seumpama ini sangat banyak dirakamkan dalam lipatan sejarah salafus soleh yang ditulis dengan tinta emas.

Kebencian mereka terhadap asy-syuhrah; samada yang datang melalui jawatan ataupun tidak, antaranya adalah kerana asy-syuhrah:
– dapat membawa seseorang menjadi ujub dengan pandangan sendiri
– sombong daripada menerima teguran
– sombong daripada melihat kesilapan diri
– merasa diri sentiasa betul
– merasa kuat kerana adanya pengikut/peminat/follower tegar
– memaksa-maksa pandangan sendiri supaya kelihatan betul demi menjaga kedudukan, walaupun dengan menolak kebenaran
– sehingga akhirnya memperlekehkan orang lain yang cuba membetulkan kesalahannya.

الكبر بطر الحق وغمط الناس
Takabbur itu ialah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia. (HR Muslim)

Asy-Syuhrah dapat memesongkan niat murni dan keikhlasan seseorang, dan melahirkan sifat takabbur. Apalagi pada zaman moden ini, seorang selebriti sangat mudah mendapat puluhan ribu pengikut di alam maya.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada ketergelinciran yang membinasakan hanya kerana populariti yang kita kecapi.

Sufyan ats-Tsauri berkata, “Aku tidak pernah mengendalikan sesuatu yang lebih berat daripada niat, kerana niat itu cepat berbolak-balik (berubah-ubah).”

Kepada Allah jua kita memohon hidayah dan taufiq.

Ahmad Hisyam Sabrani

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts