Mengapa individu tentang Islam jadi Timbalan Menteri Perpaduan?

 

BANGI – Pelantikan Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Perpaduan amat membimbangkan umat Islam kerana beliau adalah antara individu yang lantang menentang hukum dan dasar berkaitan dengan agama itu.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, lantikan ini adalah satu penghinaan kepada perpaduan negara dan yang paling pasti akan merencatkan usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.

Aminuddin berkata, beliau masih mengingati bagaimana Lian Ker sering menjadi ‘frontline’ utama bagi MCA untuk menentang, mengkritik dan menghentam dasar-dasar perundangan Islam yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN) di peringkat kerajaan Pusat dan malah kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Pada 2017, Lian Ker pernah berkata, MCA di bawah kepimpinan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mencapai kejayaan apabila menghalang UMNO yang mengetuai BN daripada membawa RUU355 melalui usul kerajaan. 

Menurut beliau, kejayaan ini menunjukkan bahawa MCA masih kuat dalam memberi tekanan politik dalam BN.

Selain itu, pada tahun yang sama juga Lian Ker pernah mendesak kerajaan, terutama Kementerian Dalam Negeri, untuk menjelaskan mengapa Dr Zakir Naik diberikan status PR, kerana pada Lian Ker, pakar perbandingan agama itu terkenal menimbulkan ketegangan.

Lian Ker berkata, beliau berasa tidak senang apabila Dr Zakir diizinkan untuk mengadakan ceramah agama di sini walaupun beliau telah menimbulkan banyak kegelisahan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang kaum.

Kesal dengan perkara itu, Aminuddin berkata, pada hakikatnya. banyak lagi kenyataan dikeluarkan oleh Lian Ker yang telah mengguris hati dan mencetuskan kegelisahan umat Islam.

“Saya dan rakan-rakan NGO Islam yang berpenat lelah memperjuangkan agar agenda-agenda Islam didaulatkan selama ini sudah pasti berasa kesal dan hampa dengan keputusan kerajaan melantik orang ini menjadi Timbalan Menteri Perpaduan.

“Persoalan saya, tiada orang lain sangatkah untuk menyandang jawatan ini? Jika mahu sangat lantik orang bukan Islam sekali pun, pilihlah yang punyai rekod bersih dan mencerminkan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin menegaskan, kegagalan kerajaan yang lalu untuk mencapai perpaduan negara seharusnya menjadi pengajaran untuk kerajaan sekarang. 

“Ini disebabkan kerajaan PH telah melantik seorang menteri yang menentang Islam. Maka perkara yang sama juga akan berlaku jika kerajaan baru ini mengulangi kesilapan yang sama.

“Langkah sumbang kerajaan kali ini membuktikan bahawa perkiraan politik diutamakan lebih dari perpaduan rakyat. Ini tidak harus berlaku jika kerajaan ini benar-benar serius untuk agenda perpaduan di kalangan rakyat,” katanya

Terdahulu, media tempatan melaporkan Lian Ker akan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara esok.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan perkara itu kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman mengenai pelantikan itu pada hari ini manakala Lian Ker akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok. – ismaweb

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts