Kalimah Allah: PEMBELA akan serah memorandum sokongan kepada MAIS

 

BANGI– Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menyambut baik keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memohon sebagai pencelah dalam kes rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya yakin MAIS mendapat sokongan kuat daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, kerana Baginda adalah Ketua Agama Islam negeri Selangor.

Atas dasar itu, PEMBELA akan sentiasa bersedia membantu MAIS dalam mempertahankan agama – khususnya berkaitan kes kalimah Allah ini.

“Kita akan aturkan perjumpaan pimpinan gabungan NGO serta menyediakan barisan peguam dan pasukan kajian yang sentiasa bersiap siaga untuk membantu, sekiranya MAIS perlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, Haji Aminuddin berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum sokongan kepada MAIS dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, kita juga akan mengumpulkan dan menyerahkan memorandum sokongan dari sebanyak mungkin NGO-NGO Islam di seluruh negeri Selangor ke pejabat MAIS.

“Mudah-mudahan memorandum sokongan ini akan memberikan semangat kepada MAIS secara khususnya, dan majlis-majlis agama Islam negeri lain secara amnya.

“Setidak-tidaknya supaya mereka sedar yang NGO-NGO serta persatuan-persatuan Islam berdiri teguh di belakang mereka dalam agenda membela agama Islam daripada dihina sedemikian rupa dengan begitu liciknya,” katanya.

Semalam, MAIS dilaporkan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pihak pencelah dalam kes rayuan berhubung kebenaran penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Islam oleh orang bukan Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama Islam di Selangor, selepas Sultan Selangor, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam.

“…termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah itu jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam,” katanya. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts