Pendedahan ilmu fardu ain sejak kecil benteng cegah murtad

Keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat terutama Melayu Islam sangat membimbangkan dewasa ini. Antara keruntuhan moral yang ketara ialah isu murtad atau disebut sebagai riddah.

Isu murtad dilihat sangat sensitif dan terpencil tetapi ia membawa impak besar dalam masyarakat beragama Islam dan negara. Namun begitu, tiada angka yang jelas mengenai bilangan mereka yang murtad.

Sebenarnya murtad bukan sekadar bertukar agama, sebaliknya ia juga boleh berlaku melalui percakapan atau pertuturan apabila individu Muslim berkata sesuatu yang menghina agama, mencerca nabi dan mengaku adanya tuhan lain. Seseorang individu itu juga boleh dianggap murtad menerusi perbuatan, contohnya sujud kepada berhala dan memijak al-Quran.

Dalam konteks pengucapan yang boleh memurtadkan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada si penutur, malah memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara. Senario ini secara tidak langsung boleh mengganggu gugat keharmonian beragama dalam masyarakat awam.

Antara kesan lainnya, segelintir masyarakat mula keliru dan membuat andaian tafsiran pengucapan dengan pelbagai tanggapan. Namun, kata-kata murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan semata-mata diungkapkan di bibir atau menjadi bahan jenaka.

Justeru, bagi sesiapa yang mengungkapkan kata murtad itu akan memberi kesan besar kepada amalan kerana ia merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur.

Begitu juga dengan bergurau, kecewa atau mengajuk dengan melafazkan, ‘aku keluar Islam’ adalah ucapan yang memutuskan kepercayaan terhadap agama dan ia sangat ditegah.

Namun dalam konteks semasa, adakah masyarakat tahu apakah faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya isu peralihan agama atau murtad ini?

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan berkata, berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat beberapa faktor yang menjadi punca murtad berlaku dalam kalangan orang Islam di Malaysia.

Antaranya, pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup menjurus kepada gejala murtad. Selain itu ia juga boleh berlaku disebabkan kelemahan pegangan terhadap agama Islam itu sendiri yang berpunca daripada kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada ibu bapa serta keluarga mereka.

Lengkapkan ilmu agama

Justeru pendekatan untuk mengekang penularan hal sebegini memerlukan kepada penghayatan dan pendidikan serta tarbiah Islamiah sejak dari kecil.

Oleh itu, ibu bapa disarankan supaya melengkapkan diri anak dengan ilmu fardu ain yang mantap merangkumi pengajaran mengenai akidah, ibadat dan akhlak. Tunjukkanlah teladan yang baik kepada mereka dengan mentaati perintah Allah SWT.

Namun sesuatu yang jelas peruntukan undang-undang sedia ada termasuk prosedur berkaitan kes murtad adalah tidak seragam di antara negeri di Malaysia. Malah jika diteliti sememangnya tidak ada undang-undang yang jelas mengenai kesalahan murtad termasuklah hukumannya.

Undang-undang jenayah Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah Syariah di negeri hanyalah merangkumi hukuman maksimum tiga tahun penjara atau enam sebatan atau RM5,000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman.

Terdapat enakmen yang memperuntukkan undang-undang dan hukuman murtad secara khusus iaitu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II, Kelantan 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan kerana faktor tertentu.

Kedua-dua enakmen ini ada menyebut, sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan meninggalkan Islam, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari selepas dia didapati bersalah.

Namun begitu, negara menyaksikan bahawa tidak ada peruntukan yang jelas mengenai isu murtad ini sama ada dari segi kedudukan individu keluar agama menurut kaca mata undang-undang dan juga prosedur berkaitan dengannya.

Oleh itu, sudah sampai waktunya hal ini dibincangkan secara terbuka. Bukan hanya pihak JAKIM sahaja yang perlu terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat, tetapi semua yang mengaku Muslim perlu memikul tanggungjawab bersama bagi memelihara kesejahteraan Islam.

Atriza Umar,
Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)
– Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts